Enam cedera, termasuk kanak-kanak

Pacuan empat roda terbabas di Lahad Datu

LAHAD DATU: Enam individu termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 33, Jalan Lahad Datu–Sandakan berhampiran Sandau, pagi kelmarin.
Dalam kejadian itu, semua mangsa terdiri daripada empat lelaki dewasa, seorang wanita dan seorang kanak-kanak dilaporkan mengalami kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.16 pagi sebelum sepasukan sembilan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba pada jam 8.42 pagi selepas menempuh perjalanan kira-kira 30 kilometer.
“Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai terbabas ke bahu jalan.
“Tiada mangsa yang tersepit dan semua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.
Beliau berkata, semua mangsa diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu dengan bantuan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Katanya, operasi turut dibantu empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), enam anggota APM dan enam petugas KKM di lokasi kejadian.
“Tiada liputan GIRN di kawasan kejadian. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.26 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi risiko bahaya,” katanya.

OPERASI …. Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat mangsa serta pemeriksaan di lokasi kemalangan.