Oleh JAMES LEONG
TAWAU: Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan polis kerana disyaki mencuri cincin emas milik kakaknya, dalam kejadian yang mencerminkan bahawa jenayah boleh berlaku walaupun dalam lingkungan keluarga terdekat.
Suspek ditahan kira-kira jam 10.15 pagi pada 31 Mac oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di Jalan Kampung Hidayat.
Lelaki itu dipercayai mengambil cincin emas milik adik-beradiknya dari kediaman mereka di Batu 5, Jalan Apas.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa membuat laporan polis pada Sabtu lalu, jam 6.43 petang selepas menyedari cincin berkenaan hilang sehari sebelumnya.
“Bertindak atas risikan dan maklumat yang diperoleh, pihak polis berjaya mengesan serta menahan suspek,” katanya.
Menurut beliau, serbuan susulan di sebuah kedai emas di Jalan Chester kira-kira jam 12.30 tengah hari berjaya menemui semula cincin tersebut, bersama resit jualan yang tertera nama suspek.
Jasmin memaklumkan, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Beliau menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan jenayah, tanpa mengira hubungan antara individu terlibat.
“Tiada toleransi dalam soal pelanggaran undang-undang. Setiap kes kecurian akan disiasat secara menyeluruh dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dalam menjaga harta benda, termasuk dalam kalangan ahli keluarga sendiri.
“Jenayah tidak mengenal hubungan kekeluargaan. Jika mengalami kehilangan atau mengesan sebarang aktiviti mencurigakan, segera laporkan kepada pihak polis,” katanya.

DITAHAN …. Suspek (tengah) ditahan polis Tawau di Jalan Kampung Hidayat pada Selasa.








