Oleh Wu Vuide
KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) akan menubuhkan sebuah unit tindak balas krisis pelancongan sebagai langkah strategik bagi memacu industri menghadapi ketidaktentuan global yang semakin meningkat, susulan konflik di Timur Tengah serta kenaikan kos operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit akan mengetuai unit berkenaan, dibantu oleh timbalannya, Humphrey Ginibun yang akan memegang peranan sebagai Ketua Pegawai Strategi dalam penstrukturan semula organisasi yang sedang berjalan.
Unit ini akan menjadi pusat penyelarasan utama merangkumi perancangan, koordinasi dan pelaksanaan langkah respons merentas sektor pelancongan—sebuah “command center” yang berfungsi memastikan ekosistem industri kekal tangkas dan berdaya tahan.
Keputusan penubuhan unit tersebut dibuat dalam mesyuarat lembaga STB yang dipengerusikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi STB, Joniston Bangkuai, susulan kebimbangan terhadap tekanan luaran yang boleh menjejaskan permintaan pelancongan, operasi syarikat penerbangan serta kestabilan pasaran.
Unit berkenaan akan melapor terus kepada lembaga pengarah bagi memastikan pemantauan rapi serta aliran maklumat strategik yang telus dan responsif.
Joniston berkata, walaupun industri pelancongan Sabah kini berada di landasan pemulihan, landskap operasi global semakin tidak menentu dan memerlukan pendekatan yang lebih proaktif serta bersepadu.
“Ketegangan geopolitik di Timur Tengah berpotensi mempengaruhi corak perjalanan antarabangsa dan domestik, harga bahan api serta perancangan laluan penerbangan—yang akhirnya memberi kesan kepada keterhubungan dan ketibaan pelancong ke Sabah.
“Sebagai destinasi yang mempunyai jaringan antarabangsa kukuh, kita perlu sentiasa peka, bertindak awal dan memperkukuh libat urus dengan syarikat penerbangan serta pemain industri,” katanya.
Dalam memastikan kelangsungan momentum, unit ini akan memfokuskan kepada perumusan strategi bagi mengurangkan impak kejutan luaran termasuk turun naik harga bahan api, sambil mengekalkan daya saing, kebolehcapaian dan tarikan Sabah dalam pasaran domestik dan antarabangsa.
Selain itu, unit ini akan mempergiatkan libat urus berkala bersama pihak berkepentingan utama seperti pengusaha hotel, syarikat penerbangan dan operator pelancongan—mewujudkan satu ekosistem kolaboratif yang lebih selaras, responsif dan berimpak tinggi.
STB turut akan memperkukuh fokus terhadap pasaran domestik sebagai “anchor market” bagi menstabilkan industri dalam suasana ketidaktentuan global, sekali gus meningkatkan daya tahan dalaman sektor pelancongan negeri.
Dalam perkembangan sama, lembaga turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Bersama Pembangunan dan Pemasaran Pelancongan antara STB dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi mempertingkat koordinasi dalam pembangunan serta promosi produk pelancongan di ibu negeri.
Jawatankuasa ini akan mengenal pasti tarikan baharu, memperkukuh produk sedia ada serta memastikan strategi pemasaran Kota Kinabalu sebagai pintu masuk utama ke Sabah dilaksanakan secara lebih kohesif dan bersepadu.
“Kita tidak boleh bergerak secara silo. Strategi mesti diselaraskan bersama pemain industri, syarikat penerbangan dan komuniti. Menjelang Visit Sabah 2026, kita perlu melangkah dengan fokus, kesatuan dan naratif yang jelas,” tegas beliau.

MESYUARAT …. Joniston mempengerusikan mesyuarat lembaga STB.



