Isu tambang pengangkutan pelancongan
Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menggesa tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan konsisten bagi menangani isu caj tambang pengangkutan pelancongan yang berlebihan serta tidak munasabah.
Pengerusinya, David Chan berkata, pihaknya menyambut baik pendirian proaktif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam usaha membanteras amalan pencatutan yang semakin membimbangkan.
Menurutnya, pihaknya menerima peningkatan aduan daripada pengguna tempatan dan pelancong berhubung caj yang tidak konsisten, khususnya melibatkan perkhidmatan pengangkutan dari lapangan terbang, pakej pelancongan serta perkhidmatan e-hailing.
“Sekiranya isu ini tidak ditangani dengan segera, ia berpotensi menjejaskan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang adil, telus dan mesra pelancong,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, YPNM menyokong penuh komitmen KPDN untuk mempergiatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap sebarang bentuk manipulasi harga.
Semua penyedia perkhidmatan turut diseru agar mematuhi prinsip harga yang adil serta memastikan maklumat caj dipaparkan secara jelas kepada pengguna sebelum sesuatu perkhidmatan diberikan.
Dalam memperkukuh ekosistem perlindungan pengguna, YPNM mengemukakan beberapa cadangan utama, antaranya:
Penguatkuasaan lebih tegas dan konsisten bagi membanteras amalan caj berlebihan; Paparan harga yang jelas dan telus bagi semua perkhidmatan pengangkutan pelancongan; Kerjasama erat antara KPDN, pihak berkuasa pelancongan serta pihak berkuasa tempatan; Tindakan segera terhadap pesalah termasuk pengenaan penalti lebih berat sebagai langkah pencegahan.
Pada masa sama, YPNM menggalakkan pengguna dan pelancong agar sentiasa berwaspada serta menyalurkan aduan melalui saluran rasmi KPDN sekiranya berlaku unsur penipuan atau caj tidak munasabah.
Menurutnya, dalam usaha negara memperkukuh sektor pelancongan, aspek ketelusan, integriti dan keadilan perlu terus dipelihara bagi menjamin keyakinan pelancong serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.
YPNM menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan hak pengguna dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam memastikan pasaran yang adil dan telus untuk semua.

DAVID CHAN




