Rakyat digesa bersedia hadapi kenaikan kos

Susulan konflik Timur Tengah – Baharul

KOTA KINABALU: United Sabah Bumis Organisation (USBO) menzahirkan kebimbangan terhadap ketidaktentuan konflik di Timur Tengah yang dilihat berpotensi mencetuskan gelombang tekanan baharu ke atas ekonomi global.
Setiausaha Agungnya, Datuk Baharul Sawi berkata, krisis berpanjangan di rantau itu dijangka mengganggu keseimbangan ekosistem ekonomi dunia, khususnya dalam sektor tenaga yang menjadi pemacu utama rantaian industri.
“Ketidaktentuan bekalan serta gangguan laluan perdagangan strategik boleh mendorong peningkatan harga minyak global, sekali gus memberi impak langsung kepada kos pengangkutan dan logistik,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kesan limpahan daripada situasi tersebut berisiko mencetuskan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, seterusnya meningkatkan tekanan kos sara hidup rakyat dalam tempoh terdekat.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat untuk mengadaptasi pendekatan perbelanjaan lebih berhemah sebagai langkah mitigasi awal.
“Rakyat disaran memfokuskan kepada keperluan asas, mengurangkan perbelanjaan tidak kritikal serta mengamalkan disiplin kewangan yang lebih strategik,” katanya.
Beliau turut menggalakkan penggunaan sumber secara optimum, termasuk amalan berkongsi kenderaan, memanfaatkan pengangkutan awam, mengelakkan pembaziran makanan serta menyokong produk tempatan sebagai sebahagian daripada ekosistem ekonomi domestik yang mampan.
Dalam masa sama, Baharul menekankan bahawa kekuatan kolektif masyarakat merupakan aset utama dalam mendepani ketidaktentuan global.
“Kita perlu memperkukuh solidariti, saling menyokong dan bergerak sebagai satu komuniti yang berdaya tahan bagi memastikan kesejahteraan bersama terus terpelihara,” katanya.
USBO yakin pendekatan berhemah yang digerakkan secara kolektif mampu menjadi benteng kukuh dalam mengharungi cabaran ekonomi yang semakin kompleks.

BAHARUL SAWI