Oleh FARDY BUNGGA
PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan Selasa lalu, selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti jenayah pecah masuk kedai emas di sekitar daerah Penampang dan Putatan.
Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, dalam operasi di sebuah bangunan komersial, di sini.
Malah ketika ditahan, polis turut berjaya merampas enam utas gelang tangan pelbagai saiz yang dianggarkan bernilai RM50,000.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya mengesan dan menahan suspek yang turut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
Katanya, selain daripada beberapa barang kemas, pasukan operasi turut merampas sebuah kereta, telefon bimbit, pakaian serta dokumen berkaitan bagi membantu siasatan lanjut.
“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah harta benda serta penyalahgunaan dadah.
“Siasatan lanjut sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kelmarin.
Menurutnya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda dan bagi kesalahan berulang boleh dikenakan sebatan.
Sehubungan itu, Sammy menyeru orang ramai untuk terus menjadi mata dan telinga dengan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan kepada pihak polis.
Katanya, maklumat yang disalurkan boleh membantu pihak polis menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

DIRAMPAS …. Enam utas gelang emas yang berjaya dirampas daripada suspek.

DITAHAN …. Suspek ditahan polis dalam operasi di sebuah bangunan komersial.




