Kerajaan Negeri perketat pemantauan
Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar, mempengerusikan mesyuarat sesi libat urus bagi membincangkan isu bekalan beras di kedai dan pasar raya seluruh negeri di Wisma Pertanian, di sini.
Mesyuarat itu diadakan susulan laporan kekurangan bekalan beras di beberapa lokasi sejak minggu lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna.
Menurut Jamawi, pihaknya masih menerima maklum balas daripada wakil rakyat di beberapa daerah berhubung situasi semasa di lapangan.
“Terdapat rakan-rakan wakil rakyat yang terus menyalurkan maklumat berkaitan kekurangan bekalan beras melalui gambar dan video dari premis yang mereka kunjungi,” katanya.
Beliau berkata, mesyuarat berkenaan bertujuan mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai situasi semasa, selain mengenal pasti langkah intervensi yang bersesuaian bagi menangani isu tersebut secara tuntas.
“Ini penting bagi memastikan setiap tindakan yang diambil bersifat tepat, berimpak dan mampu menyelesaikan masalah secara menyeluruh,” jelasnya.
Jamawi turut memaklumkan bahawa Ketua Menteri telah mengarahkannya supaya memastikan bekalan beras, khususnya stok penimbal (stockpile), mencukupi sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan.
Sehubungan itu, katanya, Kabinet Negeri turut mengamanahkannya untuk memperkukuh keterjaminan makanan, termasuk memastikan kecukupan bekalan serta kawal selia beras melalui agensi kementerian iaitu Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS).
Bagaimanapun, beliau menjelaskan LPBS tidak mempunyai bidang kuasa dari segi penguatkuasaan.
“LPBS tidak mempunyai punca kuasa untuk penguatkuasaan, termasuk dalam aspek pemantauan penyorokan atau penyeludupan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pihak Bernas dan Bahagian Kawal Selia terus memainkan peranan dalam memantau stok serta keperluan bekalan, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertanggungjawab menguatkuasakan kawalan harga dan menangani aktiviti pencatutan.
Beliau menegaskan, pendekatan bersepadu itu penting bagi mengekang sebarang elemen penyelewengan seperti penyeludupan dan fenomena ‘bekalan ghaib’ di pasaran.
Sebagai langkah susulan, satu lagi sesi pertemuan bersama pemain industri dan pembekal padi dijadualkan pada 7 April ini bagi memperkukuh koordinasi rantaian bekalan.

KENANGAN …. Jamawi (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama selepas sesi libat urus berkenaan.





