ADUN Elopura buat lawatan susulan aduan infrastruktur di Bandar Kim Fung

Oleh JAMES LEONG
SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong, telah mengadakan lawatan tapak buat kali keenam ke kawasan Bandar Kim Fung susulan aduan berterusan daripada para peniaga dan penduduk setempat.
Aduan tersebut tertumpu kepada masalah sistem pembetungan dan bekalan air yang berlarutan sejak tahun lalu.
Berdasarkan maklum balas diterima, isu berkenaan berpunca daripada paip kumbahan tangki septik yang melimpah, sehingga mencemari permukaan jalan dan menjejaskan tahap kebersihan serta keselesaan awam.
Dalam masa sama, kebocoran turut dikesan pada paip agihan air bawah tanah yang menyebabkan tekanan air rendah dan tidak stabil.
Keadaan ini seterusnya memberi kesan kepada penggunaan air harian penduduk di kawasan terbabit.
Sehubungan itu, Jabatan Air Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah (JPPS) telah dimaklumkan dan dijangka melaksanakan kerja-kerja pembaikan serta penyelenggaraan segera bagi menangani masalah berlarutan ini.
Calvin menegaskan bahawa kerjasama bersepadu antara agensi berkaitan amat penting bagi memastikan penyelesaian jangka panjang yang efektif dapat dilaksanakan.
Beliau turut menekankan bahawa isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan kesihatan awam dan kesejahteraan penduduk.
Menurutnya, beliau akan terus memantau perkembangan kerja pembaikan dan mendesak tindakan segera daripada pihak berkuasa bagi memastikan masalah tersebut dapat diselesaikan sepenuhnya dalam kadar segera.
Penduduk yang terjejas juga dinasihatkan agar terus menyalurkan maklum balas dan aduan sekiranya masalah berkenaan masih berlarutan, bagi membolehkan tindakan susulan diambil tanpa kelewatan.

LAWATAN …Calvin Chong, lakukan lawatan tapak buat kali keenam ke kawasan Bandar Kim Fung.