MEMBAKUT: Persatuan Kebajikan dan Rekreasi Anak-Anak Pimping (PAPIM) Kota Kinabalu akan menganjurkan Malam Senandung Aidilfitri PAPIM 2026 pada Sabtu ini, 11 April, bertempat di Dewan Seri Wawasan, Kampung Pimping, bermula jam 8 malam.
Pengerusinya, Haji Ahmad @ Jumin Dipong berkata, penganjuran kali kedua ini bakal menampilkan pelbagai pengisian menarik yang berteraskan semangat kebersamaan dan kasih sayang sesama komuniti.
Menurut beliau, Penolong Setiausaha Agung PAPIM yang juga Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Papar, Nor Isham Narawi, sekali lagi diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Pelaksana, berdasarkan rekod cemerlang beliau mengendalikan program-program utama persatuan sebelum ini.
“Kita pada awalnya merancang mengadakan majlis ini pada 4 April sebagai platform menghimpunkan anak-anak Kampung Pimping dalam suasana mahabbah. Namun, mengambil kira Majlis Kesyukuran Aidilfitri anjuran Penaung PAPIM, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif pada tarikh tersebut, kita sepakat menangguhkan ke 11 April,” katanya.
Majlis ini akan diserikan dengan Pertandingan Nyanyian Lagu Aidilfitri yang terbuka kepada penduduk kampung, selain persembahan khas enam penyanyi jemputan veteran dari Kampung Pimping.
Orang ramai yang berminat menyertai pertandingan karaoke Aidilfitri boleh mendapatkan borang penyertaan melalui penganjur atau menghubungi Pengerusi Persembahan/Pertandingan, Ali Omar Salleh, serta Haji Ahmad sendiri.
Menariknya, majlis ini turut menyaksikan pelancaran rasmi lagu tema PAPIM yang dicipta oleh anak kepada Penolong Setiausaha Agung persatuan itu. Lagu tersebut akan dipersembahkan secara langsung oleh barisan kepimpinan PAPIM sejurus dilancarkan oleh Penaung persatuan.
Dalam usaha memperkukuh ukhuwah dan menyemarakkan suasana Aidilfitri, pelbagai hadiah menarik turut ditawarkan menerusi cabutan bertuah kepada para pengunjung.
Haji Ahmad menambah, penganjuran kali ini di kampung halaman sendiri memberi ruang kepada ahli PAPIM yang berada di perantauan, khususnya di ibu kota, untuk kembali berkumpul bersama keluarga dan sahabat handai dalam suasana penuh nostalgia.
“Tahun lalu kita adakan di Kota Kinabalu, namun kali ini kita bawa pulang ke akar umbi — supaya ikatan kekeluargaan itu terus hidup, tidak sekadar diingati, tetapi dirasai,” ujarnya.
Sementara itu, kepimpinan tertinggi PAPIM turut berkesempatan menghadiri Majlis Kesyukuran Aidilfitri anjuran Datuk Dr Mohd Arifin di kediamannya di Kampung Tambing Pimping pada sebelah pagi sebelum mesyuarat persediaan diadakan pada petang hari yang sama.

Selesai Mesyuarat …. Barisan kepimpinan PAPIM bergambar selepas mesyuarat persediaan Malam Senandung Aidilfitri PAPIM 2026. Duduk (kiri): Nor Isham Narawi, Haji Ahmad Dipong, Alihussein Matnor, Puan Nismah Haji Kanak dan Haji Mohd Amin Haji Muin.

Ziarah Aidilfitri — Kepimpinan PAPIM merakam kenangan bersama Penaung persatuan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif. Berdiri: Ag Ghazali Ag Ghani, Ag Kassim Haji Ismail, Ag Mohd Jainal Haji Jalani, Ali Omar Salleh, Nadzirah Mohd Nizam dan Haji Ismail Haji Baniamin.







