Oleh WU VUIDE
KOTA KINABALU: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini muncul sebagai arus perdana dalam sistem pendidikan negara, sekali gus menjadi laluan utama untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selari dengan keperluan industri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM437.93 juta pada tahun ini bagi memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi Sabah.
Menurutnya, peruntukan itu merangkumi keutamaan kepada program TVET, selain bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), inovasi serta teknologi digital.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam sempena Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Seramai 1,000 graduan dari kolej vokasional di Sabah dan Labuan menerima diploma masing-masing pada majlis berkenaan.
“TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya telah menjadi aliran utama dalam sistem pendidikan negara dan laluan penting untuk anak-anak kita berjaya serta menguasai kemahiran yang memenuhi kehendak industri,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan itu dapat dilihat melalui peningkatan ketara permohonan ke kolej vokasional daripada 28,098 pada 2022 kepada 58,263 pada 2026, berbanding kapasiti pengambilan seramai 17,912 pelajar.
Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan Laporan Masa Depan Pekerjaan 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), kira-kira 170 juta pekerjaan baharu dijangka diwujudkan menjelang 2030, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi hijau.
“Di peringkat domestik, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) turut memberi penekanan kepada sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).
“Sejajar dengan keperluan ini, Kementerian Pendidikan Malaysia telah membangunkan ekosistem TVET yang lebih dinamik dan responsif menerusi Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035,” katanya.
Pada majlis sama, Dr Joachim turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Akademik Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak kepada Siti Nur Hanisah Omar Hashim dari Kolej Vokasional Keningau, yang menerima sijil, plak dan wang tunai RM1,000.

TAHNIAH …. Dr Joachim menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Akademik kepada Siti Nur Hanisah Omar Hashim dari Kolej Vokasional Keningau.





