Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu terima kunjungan hormat Pegawai Daerah Tambunan

Oleh JOHN TAMBANAN

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Dato’ Victor P. Paut menerima kunjungan hormat daripada Pegawai Daerah Tambunan, Mohd Azri Jaini Jeffery di pejabatnya di sini, pada Rabu.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan profesional itu menjadi platform strategik untuk sesi suai kenal, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama antara pentadbiran daerah Tambunan dan sektor korporat.
Sepanjang kunjungan tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pelbagai perkara, termasuk pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berimpak tinggi kepada komuniti luar bandar di daerah Tambunan.
Victor menegaskan komitmen Kumpulan Sawit Kinabalu untuk terus berganding bahu dengan pentadbiran daerah dalam menyokong agenda pembangunan yang mampan, inklusif dan berorientasikan kesejahteraan rakyat.
Beliau berharap kunjungan hormat itu menjadi titik tolak kepada hubungan kolaboratif yang lebih erat dan berdaya tahan antara kedua-dua pihak, demi memacu kemajuan sosioekonomi daerah Tambunan secara holistik.

Mohd Azri (kiri) bergambar kenangan bersama Victor (tengah) semasa kunjungan hormat tersebut.