KOTA BELUD: Presiden Pertubuhan Perpaduan Kebangsaan Sabah (Perpaduan), Jack Giau, membidas kenyataan Ketua Pejabat Staf Presiden Indonesia, Muhamad Quadari, yang mendakwa kononnya seluas 127.3 hektar tanah Sabah di Pulau Sebatik adalah milik Indonesia.
Beliau menegaskan, Perpaduan memandang serius perkara itu dan menggesa Kerajaan Malaysia, khususnya Kerajaan Negeri Sabah, agar memberikan penjelasan terperinci berhubung dakwaan berkenaan.
“Pulau Sebatik merupakan satu-satunya pulau yang dibahagikan secara fizikal oleh sempadan antarabangsa antara Malaysia (Sabah) dan Indonesia (Kalimantan Utara).
“Garis persempadanan di pulau ini telah ditentukan sejak era penjajahan melalui perjanjian antara British North Borneo Company (mewakili Sabah ketika itu) dan Netherlands East Indies. Konvensyen British-Belanda 1891 pula menetapkan garis lintang 4 darjah 10 minit sebagai sempadan utama kawasan tersebut.
“Sempadan ini diperincikan melalui proses delimitasi (penentuan di atas peta), dan sebarang perubahan biasanya hanya melibatkan pelarasan teknikal atau pembetulan koordinat (pengukuran semula), bukannya penyerahan kedaulatan secara besar-besaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Jack berkata, Malaysia dan Indonesia masih dalam proses rundingan, justeru isu persempadanan perlu diputuskan secara bersama dan bukan secara sepihak.
Menurutnya, sebarang keputusan hendaklah diumumkan secara rasmi oleh kedua-dua negara melalui perjanjian dua hala yang sah serta melibatkan kerajaan negeri Sabah.
“Kerajaan Malaysia juga perlu mendapatkan pandangan rakyat Sabah terlebih dahulu sebelum memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan sempadan ini.
“Kawasan Sebatik amat sensitif kerana melibatkan aspek keselamatan negara, termasuk aktiviti rentas sempadan, sumber laut dan ekonomi tempatan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sejarah telah membuktikan isu sempadan di rantau ini ditentukan sejak era kolonial melalui Perjanjian British-Belanda 1891, dan sebarang perubahan pada masa kini tidak boleh ditafsirkan sebagai penyerahan wilayah tanpa rundingan dua hala yang sah.
“Kegagalan Mapilindo pada 1963 menunjukkan bahawa isu kedaulatan sempadan di rantau ini amat sensitif dan tidak boleh diselesaikan secara unilateral.
“Perpaduan menegaskan bahawa setiap inci tanah Sabah wajib dipertahankan.
“Sabah bukan wilayah yang luas. Justeru, penduduk di kawasan terlibat wajar diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan sekiranya kawasan tersebut masih dalam pertikaian, dan bukannya keputusan dibuat hanya di peringkat Persekutuan serta Indonesia tanpa penglibatan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Foto: Jack Giau






