Oleh FARDY BUNGGA
KUDAT: Tiga barang kawalan melibatkan minyak petrol, minyak masak dan gula yang dipercayai cuba diseleweng berjaya dirampas dalam operasi di muara Sungai Kampung Kimihang, di sini, semalam.
Tiga barang bersubsidi berkenaan dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) selepas dikesan dibawa menggunakan bot pam oleh seorang lelaki berusia 45 tahun.
Semua barang kawalan berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, berdasarkan siasatan, suspek dipercayai pemilik bot pam yang membawa barang kawalan berkenaan tanpa dokumen atau kebenaran sah.
Katanya, antara yang berjaya dirampas ialah 1,400 liter minyak petrol yang disimpan di dalam tujuh tong drum, 24 kotak berisi 408 kilogram minyak masak.
“Pasukan operasi PPM turut berjaya merampas 148 kilogram gula pasir yang disimpan di dalam bot pam berkenaan.
“Semua barangan dirampas dianggarkan bernilai RM14,876.80 dan dipercayai cuba diseleweng,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, di sini.
Menurutnya, rampasan turut melibatkan tiga unit enjin bot pam yang disyaki digunakan bagi menjalankan aktiviti penyelewengan barang kawalan.
Nazatul Shima berkata, suspek turut ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sehubungan itu, Nazatul Shima berkata, pihak KPDN Kudat merakamkan penghargaan kepada PPM Wilayah Empat Sabah atas kerjasama strategik dan tindakan proaktif dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan di perairan daerah berkenaan.
Katanya, KPDN akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barang kawalan kekal terjamin dan sampai kepada golongan sasaran.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi yang disediakan,” katanya

Bot pam yang digunakan suspek untuk membawa semua barangan berkenaan.






