Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu memohon kerjasama orang awam bagi membantu mengesan waris kepada seorang lelaki yang ditemui meninggal dunia, 18 April lalu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan IPD Kota Kinabalu menegaskan, mangsa ditemui orang awam pada 9.38 pagi di hadapan sebuah premis di Jalan Jati berhampiran kawasan Jalan Gaya, di sini.
Katanya, polis kemudiannya menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 yang memaklumkan terdapat mangsa tidak sedarkan diri.
“Sepasukan polis digerakkan ke lokasi dan setibanya di tempat kejadian, mendapati seorang lelaki dalam lingkungan umur 40-an terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pemeriksaan awal ke atas tubuh badan si mati tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematian,” katanya.
Menurutnya, mangsa didapati mempunyai kecacatan pada jari tangan sebelah kanan dan kematiannya disahkan oleh pegawai perubatan.
Katanya, mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut termasuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Sehubungan itu, katanya, mana-mana ahli keluarga atau individu yang mengenali si mati diminta untuk tampil atau menghubungi pihak polis dengan segera bagi tujuan pengecaman dan pengurusan selanjutnya.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Visual yang dipaparkan hanyalah ilustrasi bagi tujuan pengesanan waris dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana individu lain,”katanya.

SI MATI …. Waris mayat tidak dituntut diminta tampil.



