OBA 4X4 perkukuh platform motorsport lasak peringkat kebangsaan

Oleh FARDY BUNGGA

KOTA KINABALU: Out Back Adventure 4X4 (OBA 4X4) terus mengorak langkah sebagai platform utama menghimpunkan peminat sukan motorsport lasak bermula di Sabah dengan sasaran memperluaskan penglibatan ke peringkat nasional.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Mohd Yunus berkata, penubuhan OBA 4X4 bukan hanya tertumpu di Sabah, sebaliknya merangkumi seluruh negara bagi menyatukan komuniti peminat kenderaan pacuan empat roda dalam satu platform yang tersusun dan berimpak tinggi.
Katanya, walaupun operasi semasa berpusat di Kota Kinabalu, namun pihaknya merancang untuk memperluaskan jaringan ke negeri-negeri lain dalam masa terdekat.
“OBA 4X4 diwujudkan sebagai satu platform untuk semua kumpulan yang berminat dalam sukan lasak ini. Kita melihat ia bukan sekadar minat atau hobi, tetapi berpotensi menjana ekonomi serta mengaktifkan kegiatan sosial.
“Melalui platform ini, pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan termasuk program kemasyarakatan, bantuan kemanusiaan serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang sukar diakses,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri OBA 4X4 yang diadakan di Tanjung Aru, Beach 2, di sini, semalam.
Menurutnya, berbekalkan keupayaan jentera 4×4, OBA yakin dapat menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan, terutamanya ketika berlakunya bencana alam.
“Ini adalah antara peranan penting yang ingin kita galakkan melalui OBA 4×4,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Jailani berkata, OBA 4×4 didaftarkan secara rasmi di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada November tahun lalu, dengan penubuhan bersifat kebangsaan walaupun berpangkalan di Sabah.
Katanya, sehingga kini, keahlian OBA 4×4 mencecah kira-kira 100 keahlian dengan 30 daripadanya merupakan ahli jawatankuasa, manakala selebihnya adalah ahli biasa.
“Keahlian masih dibuka kepada orang ramai tanpa syarat ketat, selain minat mendalam terhadap sukan 4×4.
“Tidak wajib memiliki kenderaan 4×4 untuk menjadi ahli. Apa yang penting adalah minat. Kita hanya mengenakan yuran pendaftaran sebanyak RM50 serta yuran tahunan minimum bagi menyokong pelaksanaan program dan aktiviti,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa OBA 4×4 sentiasa bersedia untuk digerakkan dalam situasi kecemasan, khususnya dalam membantu operasi di kawasan pedalaman yang memerlukan sokongan logistik dan mobiliti tinggi.
“Dengan pendekatan inklusif dan berteraskan komuniti, OBA 4×4 dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan motorsport lasak serta platform kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh di Malaysia,” tegasnya.

Jawatankuasa dan Ahli OBA 4X4.