Oleh JAMES LEONG
KINABATANGAN: Seorang lelaki berusia 43 tahun maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah Proton Wira di Kampung Napagang, Tongod, di sini, pada Jumaat.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 6.26 petang.
Jentera bomba tiba di lokasi kejadian, kira-kira 137 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, pada jam 9.14 malam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohamud Punya berkata, kemalangan itu melibatkan dua mangsa lelaki.
“Mangsa pertama berjaya keluar dari kenderaan dengan sendiri sebelum dihantar ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kedua yang berusia 43 tahun ditemui tersepit di dalam kenderaan. Mangsa berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba Sukarela Tongod sebelum ketibaan pasukan bomba dari Balai Kinabatangan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat melibatkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan serta tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela Tongod, dengan bantuan dua anggota polis dan dua anggota Rela.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.19 malam selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

REMUK …. Anggota bomba Kinabatangan mengeluarkan mangsa yang tersepit dari kenderaan yang remuk dalam kejadian pada Jumaat.








