KOTA KINABALU: Usaha mempromosikan durian premium dan tanaman avocado tempatan menjadi antara fokus utama Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah dalam meningkatkan pendapatan petani di negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, inisiatif itu selari dengan usaha memperkukuh sektor agromakanan selain membantu pengusaha luar bandar menjana pendapatan tambahan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis santai durian bersama pengamal media di sini, yang dihadiri kira-kira 45 wakil media.
“Petang ini kita adakan majlis santai durian bersama media sebagai platform mengeratkan silaturahim antara MAFFI dan rakan-rakan media.
“Kita tidak hidangkan makanan berat, tetapi memberi peluang menikmati buah-buahan seperti durian Musang King, Black Thorn serta memperkenalkan avocado tempatan,” katanya.
Menurutnya, varieti avocado tempatan dikenali sebagai QAV1 atau dijenamakan semula sebagai Queen Sabah Avocado kini menunjukkan potensi pasaran yang memberangsangkan.
“Avocado ini mempunyai pasaran yang cukup baik dengan harga ladang sekitar RM12 hingga RM15 sekilogram dan harga eksport juga semakin meningkat,” katanya.
Sehubungan itu, Jamawi berkata, pihaknya akan memperluaskan program bantuan penanaman avocado khususnya di kawasan pedalaman seperti Tenom, Keningau, Kota Marudu, Kudat dan Ranau.
Katanya, inisiatif itu diharap mampu menjadi sumber pendapatan sampingan kepada petani selain tanaman sedia ada.
Dalam pada itu, beliau berkata, program Jelajah Kebun Dapur akan diteruskan sempena Pesta Kaamatan bermula 1 Mei ini di Papar.
“Melalui program ini, kita akan mengagihkan benih sayuran secara percuma, manakala anak pokok buah-buahan, ternakan dan benih ikan ditawarkan pada harga diskaun sehingga 50 peratus.
“Ia termasuk anak ayam, ayam penelur, ayam pedaging, burung puyuh serta benih ikan seperti tilapia, patin dan keli,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan masyarakat menanam sayur-sayuran dan menternak di kawasan rumah bagi menambah pendapatan isi rumah.-JT

MESRA …. Jamawi (tiga dari kiri) memegang durian sambil bergambar dengan para wartawan.







