KOTA KINABALU: Gerakan koperasi di Malaysia bukan lagi sebuah entiti kecil yang hanya tertumpu kepada aktiviti kredit atau kedai runcit kampung, sebaliknya telah bangkit sebagai gergasi ekonomi rakyat yang signifikan.
Sehingga 31 Disember 2025, sektor ini mencatatkan perolehan nasional sebanyak RM81.62 bilion dengan kekuatan aset bernilai RM186.75 bilion menerusi 16,468 buah koperasi dengan keanggotaan mencecah 7.3 juta orang.
Di peringkat negeri Sabah, koperasi menjadi penyumbang kritikal kepada sosio-ekonomi dengan perolehan sebanyak RM913.33 juta dan nilai aset melebihi RM1.2 bilion daripada 2,047 buah koperasi.
Pencapaian ini merupakan hasil daripada pelaksanaan Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DAKOM 2030) yang menyasarkan sumbangan sektor koperasi kepada KDNK negara meningkat daripada 3.6% kepada 5% menjelang tahun 2030.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin, menegaskan bahawa dalam mendepani krisis kos sara hidup global, koperasi memegang peranan strategik melalui penguasaan rantaian bekalan.
Beliau menjelaskan bahawa koperasi dalam sektor peruncitan dan pertanian boleh meminimumkan kos dengan menghapuskan peranan orang tengah yang sering mengeksploitasi harga demi memastikan pulangan adil kepada anggota serta pengguna.
“Inisiatif ini selari dengan prinsip A-B-C-D (Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal, dan Daya Akses Pasaran) yang diamalkan KUSKOP untuk memudahcara urusan bantuan, pembiayaan, dan latihan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Bicara Koperasi dan Jom@Coop IKMa bersama Agensi KUSKOP dan Media, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), disini pada Sabtu.
Program itu dianjurkan Institut koperasi Malaysia Zon Sabah. Turut hadir Ketua Pengarah UKMa, Datuk Mohamad Ali Mansor.
Mohamad berkata, Koperasi juga diseru untuk terus relevan dengan beradaptasi terhadap perkembangan teknologi terkini seperti Revolusi Industri 4.0 dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi menarik minat golongan muda.
“Manakala Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang kini menyambut Jubli Platinum ke-70 tahun, terus memperkasakan modal insan melalui Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM)m: katanya.
Beliau berkata, UKKM kini menyediakan laluan akademik formal dari peringkat diploma sehingga Doktor Falsafah (PhD) bagi melahirkan barisan pemimpin koperasi yang pakar dalam pengurusan moden dan pemikiran strategik.
“KUSKOP turut menekankan kepentingan sinergi antara agensi di bawah kementerian bagi menyokong kerangka Ekonomi Madani,” katanya.
Mohamad berkata, kerjasama holistik antara agensi, adalah kunci utama dalam menstruktur semula ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup rakyat secara inklusif.
Beliau juga menyeru pihak media sebagai rakan strategik untuk terus menghebahkan inisiatif kementerian serta menonjolkan kisah kejayaan koperasi tempatan seperti Koperasi Sosodikon Ranau Berhad untuk dijadikan inspirasi kepada masyarakat umum.JT

KENANGAN …. Mohamad Alamin (duduk tengah) diiringi Mohamad Ali Mansor serta tetamu lain bergambar kenangan bersama peserta program tersebut.




