KOTA KINABALU: Menjelang penghujung Syawal, tradisi rumah terbuka Aidilfitri terus mekar sebagai jambatan silaturahim dalam kalangan masyarakat Islam.
Tidak terkecuali, Persatuan Anak Jati Kampung Tanjung Aru Baru di bawah pimpinan pengerusinya, Khalid Haji Osman, telah menganjurkan Malam Silaturahim Aidilfitri 2026 pada Sabtu malam dalam suasana penuh kemeriahan dan kebersamaan.
Buat julung kalinya dianjurkan, majlis yang berlangsung di Balairaya Kampung Tanjung Aru Baru itu dihiasi pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan karaoke, pertandingan pakaian beragam kanak-kanak, persembahan nyanyian, pertunjukan bunga api, penyampaian anugerah khas serta cabutan bertuah yang menceriakan para pengunjung.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Bahrul Haji Chuprat, Pemangku Ketua Bahagian N.22 Tanjung Aru, mewakili Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Dalam ucapan perasmiannya, Bahrul menzahirkan penghargaan terhadap usaha Persatuan Anak Jati Kampung Tanjung Aru Baru dalam menganjurkan program yang menyatukan komuniti.
Menurut beliau, penganjuran seumpama ini bukan sahaja menghimpunkan penduduk setempat, malah memperkukuh semangat kerjasama, memupuk perpaduan serta merapatkan hubungan antara rakyat dan kepimpinan.
Beliau turut mengajak masyarakat kampung agar terus memelihara keharmonian dan semangat muafakat yang jelas terpancar sepanjang majlis berlangsung.
Sementara itu, Khalid Haji Osman dalam ucapannya melahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran majlis tersebut yang menjadi platform mempererat ukhuwah dalam suasana Aidilfitri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga dan sokongan, termasuk barisan jawatankuasa, sukarelawan serta para penyumbang.
“Komitmen semua pihak menjadi nadi kejayaan majlis ini dan menyuntik semangat kepada komuniti Kampung Tanjung Aru Baru untuk terus bersatu dan bergerak ke hadapan,” katanya.
Dalam pertandingan yang diadakan, Norshamezi muncul juara kategori karaoke, menewaskan lima peserta lain.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Fifie dan Shahrul Nizam, dengan setiap pemenang membawa pulang wang tunai, piala dan cenderahati.
Bagi pertandingan pakaian beragam kanak-kanak, Nurul Mayrani Roslan dinobatkan sebagai johan, diikuti Lily Zahirah Noorsyahrizad di tempat kedua dan Dyg. Hafiza Kaiser di tempat ketiga.
Kesemua pemenang turut menerima hadiah berupa wang tunai, piala dan cenderahati.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Datuk Ir Shahelmey Yahya, PPM Tanjung Aru Dr Ritchie Jay Cheng, Ketua Kampung Kampung Tanjung Aru Baru Linda Sulim, mantan PPM Tanjung Aru Datuk Mohd Reduan Datuk Aklee, penasihat penganjur Matsah Sahat serta para pemimpin setempat.

TAHNIAH … Shahelmey menyampaikan hamper kepada Linda yang memenangi cabutan tiket bertuah.







