Kanak-kanak hilang disambar buaya di Pantai Felda Sahabat

Oleh JAMES LEONG


LAHAD DATU: Satu tragedi pilu apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dilaporkan hilang selepas disambar buaya ketika bermain di pesisir pantai Jalan Felda Sahabat 16, Desa Kencana, pada Ahad.
Pusat Gerakan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 10.27 pagi.
Laporan awal memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 10.00 pagi ketika mangsa sedang bermain air di kawasan cetek sebelum tiba-tiba diserang reptilia berkenaan dan ditarik ke laut.
Sepasukan empat anggota bomba yang diketuai PB Mohammad Haidibi Faisal digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 74 kilometer dari balai.
Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) turut melibatkan tujuh anggota polis, tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta empat renjer hidupan liar.
Operasi SAR disambung semula pada jam 9.55 pagi, 20 April dengan pencarian tertumpu di sepanjang pesisir pantai dalam radius lima kilometer dari lokasi serangan.
Operasi ditangguhkan pada jam 5.15 petang sebelum disambung semula pada pagi Selasa.
Setakat laporan ini ditulis, mangsa masih belum ditemui.
Dalam kejadian berasingan, sebuah lori tangki terbakar di Jalan Layong, Jalan Nipah Tengah, Lahad Datu pada Isnin.
Panggilan kecemasan diterima pada jam 7.13 malam sebelum jentera bomba tiba di lokasi dalam tempoh tujuh minit, melibatkan jarak perjalanan sejauh tiga kilometer.
Seramai lapan anggota bomba diketuai Komander Operasi PB Akbar Mohambar terlibat dalam operasi tersebut.
Kebakaran melibatkan kira-kira lima peratus bahagian lori, dengan api tertumpu pada tayar belakang.
Pasukan bomba berjaya memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran hos dan mengawal api sepenuhnya pada jam 7.27 malam. Operasi ditamatkan pada jam 7.51 malam. Tiada kecederaan dilaporkan.
Sementara itu di Semporna, sebuah bas ekspres dua tingkat musnah dalam kebakaran di Jalan Semporna–Kunak pada malam Isnin.
Kejadian berlaku ketika bas tersebut dalam perjalanan ke Kota Kinabalu untuk tujuan penyelenggaraan dan tidak membawa penumpang.
Panggilan kecemasan diterima pada jam 10.50 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Semporna bergegas ke lokasi sejauh 20 kilometer dan tiba pada jam 11.11 malam.
Operasi pemadaman melibatkan lapan anggota bomba diketuai PB II Mohd Nazir Korong dengan bantuan dua anggota polis.
Api berjaya dikawal pada jam 11.28 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.52 malam. Tiada mangsa dilaporkan cedera.

MARAK …. Bas ekspres dua tingkat terbakar marak di Jalan Semporna–Kunak pada malam 20 April.