Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu memohon bantuan orang ramai bagi mengesan waris kepada warga emas yang meninggal dunia di sebuah bilik sewa di Bandaran Berjaya, di sini, pada 19 April lalu.
Dalam kenyataan menerusi laman sosial facebook Polis Daerah Kota Kinabalu memaklumkan, lelaki terbabit seorang berketurunan Cina berusia 75 tahun yang dikenali sebagai Low Yook Nam.
Katanya, lelaki terbabit disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.38 pagi ketika ditemui di lokasi berkenaan.
“Mayat si mati kini ditempatkan di Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I bagi tujuan pengecaman dan tuntutan oleh waris terdekat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali si mati diminta tampil membantu bagi melancarkan urusan pengecaman dan pengurusan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222.
“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Muhammad Abu Zar Jali @ Ramli di talian 019-3546375.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat juga boleh tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

SI MATI …. Mangsa dikenali sebagai Low Yook Nam berusia 75.





