PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah (KPSTI) terus komited dalam memastikan hala tuju pendidikan tinggi di negeri ini selari dengan keperluan semasa industri, hasil pertemuan bersama Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi sempena Mesyuarat Exco Pendidikan yang diadakan baru-baru ini di Putrajaya.
Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, Datuk James Ratib menegaskan bahawa program dan latihan yang ditawarkan di politeknik, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) perlu diselaraskan dengan kehendak pasaran kerja masa kini.
“Pilihan program dan latihan yang ditawarkan tidak boleh bersifat statik. Ia perlu sentiasa disesuaikan dengan permintaan industri supaya graduan yang dilahirkan benar-benar memenuhi keperluan pasaran kerja,” katanya.
Sehubungan itu, KPSTI akan mengambil langkah proaktif dengan memanggil semua pemain industri serta pihak politeknik dan institusi pengajian tinggi bagi menyelaras penawaran program latihan agar lebih relevan dan berimpak tinggi.
Pendekatan ini diyakini mampu memastikan para pelajar mempunyai laluan kerjaya yang lebih jelas sebaik sahaja menamatkan pengajian, sekali gus membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan.
Dalam masa yang sama, beliau turut membangkitkan isu keperluan mendesak di institusi pendidikan, khususnya berkaitan kemudahan asas seperti penggantian tilam yang telah digunakan melebihi 10 tahun, selain penambahbaikan aspek kebajikan pelajar termasuk penyediaan makanan yang berkualiti dan mencukupi.
Bagi memperkukuh pelaksanaan program pendidikan tinggi di Sabah, KPSTI juga akan bekerjasama rapat dalam pelaksanaan projek-projek melibatkan IPTS.
Setakat ini, sebanyak 21 projek telah dilaksanakan manakala 8 lagi projek baharu sedang dalam tindakan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk dipastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
Dalam pertemuan tersebut, James turut mencadangkan agar satu laluan khas diwujudkan untuk pelajar luar bandar serta golongan B40 bagi meningkatkan akses mereka ke institusi pengajian tinggi.
Cadangan ini telah mendapat maklum balas positif daripada Dr Zambry yang bersetuju agar pendekatan inklusif tersebut dipertimbangkan dan dilaksanakan demi memastikan peluang pendidikan tinggi dapat dinikmati secara lebih saksama oleh semua lapisan masyarakat.
KPSTI kekal komited untuk memperkasa ekosistem pendidikan tinggi yang lebih inklusif, responsif dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi pembangunan modal insan Sabah.-JT

KENANGAN …. James bersama Dr. Zambry (tengah) besama Exco-Exco Pendidikan dari Melaka, Pahang dan Johor.







