Warisan budaya perkukuh keharmonian masyarakat di Sabah

KOTA KINABALU: Tema ‘Budaya Kita, Kita Jaga’ menjadi teras penganjuran Majlis Hari Etnik Sabah 6.0 yang diadakan sempena sambutan ulang tahun kelahiran rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pemeliharaan warisan budaya merupakan tanggungjawab bersama seluruh rakyat negeri ini.
“Sabah sememangnya kaya dengan kepelbagaian etnik, bahasa, adat dan tradisi. Keunikan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan, malah merupakan kekuatan sebenar dalam membentuk masyarakat yang aman dan bersatu.
“Dengan kehadiran hampir 700 orang peserta yang terdiri daripada 135 persatuan etnik, NGO, penggiat seni dan wakil pelbagai agensi kerajaan,  mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap usaha memperkukuh perpaduan melalui warisan budaya,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Hari Etnik Sabah 6.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, pada Sabtu.
Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin bagi menyempurnakan majlis tersebut.
Jafry menjelaskan bahawa kepelbagaian etnik, bahasa dan tradisi di Sabah bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat malah merupakan kekuatan utama dalam membentuk perpaduan dan keharmonian negeri.
Majlis Hari Etnik Sabah 6.0 turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara kaum melalui penglibatan pelbagai persatuan etnik, penggiat seni dan agensi kerajaan, selain mengangkat budaya tempatan sebagai produk pelancongan bertaraf antarabangsa.
Tambah beliau, dalam era globalisasi yang semakin mencabar, usaha memelihara identiti budaya menjadi semakin penting agar masyarakat tidak kehilangan jati diri yang berakar pada nilai dan tradisi.
Edisi kali ini turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Peneraju Etnik serta sijil penghargaan kepada penggiat seni dan budaya sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa mereka dalam memelihara dan mengembangkan seni budaya tempatan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I Sabah Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif serta Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan.-Penerangan.

Jafry ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Hari Etnik 6.0. 

KENANGAN… Tun Musa (empat dari kanan) bergambar kenangan bersama sempena  Majlis Hari Etnik 6.0.