Amaun Pemberian Khas kepada Sabah mungkin dinaikkan dalam Bajet 2027 — Mustapha

Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan tidak menolak kemungkinan untuk menaikkan amaun Pemberian Khas kepada Sabah dalam Bajet 2027 yang dijangka dibentangkan Oktober depan, sementara menunggu rundingan tuntutan 40 peratus hasil negeri dimuktamadkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, bagaimanapun berkata perkara itu bergantung kepada kedudukan ekonomi negara ketika itu.
“Jika keadaan ekonomi mengizinkan, saya fikir tidak ada masalah untuk menambah Pemberian Khas kepada Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Jemaah Haji Parlimen Sepanggar di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar, di sini.
Mustapha diminta mengulas perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini yang menyaksikan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membangkitkan isu tuntutan 40 peratus hasil Persekutuan daripada Sabah serta mendesak penyelesaiannya dipercepatkan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ADUN Sabah yang membahaskan perkara tersebut.
“Kita mendengar dan meneliti perkara ini, dan saya sendiri telah berbincang dengan YAB Perdana Menteri bagi memaklumkan bahawa isu ini hangat dibincangkan dalam sidang DUN.
“Perkara ini juga telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu, dan Kabinet akan membuat keputusan berhubung perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Mustapha menasihati bakal jemaah haji supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi nasihat dan arahan pihak berkuasa, khususnya Tabung Haji dan kedutaan Malaysia, susulan situasi keselamatan di Timur Tengah yang tidak menentu.
Beliau berkata seramai 55 jemaah haji dari Parlimen Sepanggar dijadual berlepas ke Tanah Suci pada 11 Mei ini.

Mustapha menyampaikan sumbangan kepada salah seorang jemaah haji pada majlis berkenaan.