Oleh FARDY BUNGGA
KENINGAU: Enam rumah jenis separuh kekal dan sebuah kedai runcit musnah terbakar dalam insiden kebakaran di Kampung Apin-Api, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, enam kenderaan penduduk termasuk dua kereta Proton Wira dan Proton Persona turut dilaporkan musnah selepas gagal diselamatkan pemilik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus @Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 7.06 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Setibanya di lokasi, kebakaran didapati melibatkan lima rumah yang terbakar 100 peratus, sebuah kedai runcit terbakar 50 peratus serta sebuah rumah separuh kekal terbakar 60 peratus.
“Turut terlibat enam kenderaan yang terbakar 100 peratus yang terdiri daripada dua kereta Proton Wira dan Proton Persona serta empat motosikal,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya melaksanakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran 60 meter dengan dua pancutan.
Katanya, operasi pemadaman yang menggunakan sumber air tangki jentera dan pili bomba berhampiran itu berjaya mengawal api kebakaran pada jam 8.02 pagi.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.10 tengah hari,” katanya.


KEJADIAN…. Api kebakaran memusnahkan enam rumah, sebuah kedai runcit dan enam kenderaan.




與媒體代表合影。(060)-100x70.jpg)
