TENOM: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick menegaskan bahawa tuntutan hak Sabah, termasuk 40 peratus hasil negeri, perlu diperjuangkan bersama semua pihak tanpa mengira fahaman politik.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, UPKO menyokong semua pendekatan dan platform bagi mengangkat isu berkenaan.
“Ini termasuk melalui Kabinet, Dewan Rakyat, Dewan Negara, Dewan Undangan Negeri (DUN) serta gerakan rakyat seperti bengkel, forum dan perhimpunan kesedaran.
“Saya ingin menegaskan bahawa hak Sabah adalah hak seluruh rakyat negeri ini, bukan milik segelintir pihak. Oleh itu, semua pemimpin dan rakyat Sabah perlu bersatu dalam memperjuangkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan UPKO anjuran UPKO Tenom di Padang Bandaran Tenom, di sini, hari ini.
Ewon berkata, UPKO kekal konsisten memperjuangkan kepentingan Sabah sejak penubuhannya yang berlandaskan 17 tujuan dan matlamat dalam perlembagaan parti.
“Salah satu daripada matlamat tersebut ialah menuntut pelaksanaan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sehubungan itu, kita merakamkan penghargaan kepada pimpinan Kerajaan Sabah di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan Kerajaan Persekutuan atas usaha mengembalikan hak Sabah melalui pelaksanaan 13 perkara setakat ini,” katanya.
Beliau berkata, pada tahun ini satu Rang Undang-Undang dijangka dibentangkan di DUN berkaitan pengurusan alam sekitar dan sisa pepejal.
Dalam konteks tuntutan 40 peratus, katanya, usaha itu telah dimulakan lebih awal.
“Pada Januari 2023, saya telah menyuarakan bahawa tuntutan ini perlu dimulakan, sekurang-kurangnya melalui hasil yang jelas seperti kutipan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam.
“Cadangan ini merupakan antara syor UPKO yang telah saya kemukakan kepada Perdana Menteri dan Ketua Menteri ketika itu,” katanya.
Katanya, DUN kini telah dimaklumkan bahawa perkara itu merupakan pendirian rasmi Kerajaan Sabah dan turut dinyatakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 di Parlimen pada Mac lalu.
“Walaupun masih terdapat perkara yang dipertikaikan, termasuk keengganan Kerajaan Persekutuan berkongsi data hasil petroleum atas alasan perundangan tertentu, kita tidak bersetuju dan akan terus memperjuangkannya melalui saluran kerajaan dengan kerajaan,” katanya.
Mengenai sambutan Pesta Kaamatan, beliau berkata penganjuran program seumpama itu merupakan tradisi UPKO dalam memupuk perpaduan.
“Bukan sahaja Kaamatan, malah sambutan lain seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Krismas turut dianjurkan sebagai sumbangan kepada keharmonian rakyat.
“Saya gembira melihat kehadiran ramai rakyat Sabah, khususnya dari daerah Keningau dan kawasan sekitarnya, yang datang bersama-sama meraikan sambutan ini,” katanya.
Beliau berharap sambutan seperti itu akan terus diperkasakan bagi mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan rakyat demi pembangunan Sabah.

RASMI …. Ewon memalu gong sebagai simbolik rasminya majlis itu.




