Projek naik taraf Jalan Lok Kawi daripada bulatan Sabindo ke SMK Kinarut
Oleh JOHN TAMBANAN
PAPAR: Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari bulatan Sabindo ke SMK Kinarut kini memasuki fasa pelaksanaan, menandakan lonjakan strategik dalam memperkasa infrastruktur dan mobiliti di daerah ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata projek berimpak tinggi itu merupakan antara empat inisiatif utama yang diberi keutamaan dalam sesi taklimat status projek infrastruktur Parlimen Papar.
“Selain itu, projek pembinaan bypass Jalan Pengalat-Papar serta pembinaan SMK Gana kini berada dalam fasa persiapan tender, manakala projek Jambatan Papar 2 di KM20.4 masih di peringkat cadangan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan sesi taklimat berkenaan di Urus Setia Pejabat Daerah Papar.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim serta Pengarah Yayasan Sabah merangkap ADUN Kawang, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar memaklumkan, projek naik taraf Jalan Lok Kawi akan dilaksanakan serta-merta dengan tempoh pembinaan selama dua tahun, bermula 30 Mac 2026 hingga 29 Mac 2028.
“Surat Setuju Terima (SST) telah diserahkan secara rasmi kepada kontraktor hari ini—ini adalah titik mula kepada transformasi jaringan jalan raya yang lebih efisien dan selamat,” katanya.
Menurut beliau, skop projek melibatkan penaiktarafan jalan dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong dua hala, pembinaan jejantas pejalan kaki, pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat, serta penaiktarafan tiga bulatan kepada persimpangan berlampu isyarat.
Turut merangkumi pembinaan tiga perhentian bas, dua hentian motosikal, laluan berbumbung ke sekolah, kerja-kerja pengalihan utiliti serta pengambilan tanah.
Projek ini dibiayai melalui Kementerian Kerja Raya Malaysia dan dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.
Mengulas lanjut, Armizan menekankan keperluan sinergi antara agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan.
“Keutamaan segera adalah menyelesaikan isu pengambilan tanah yang melibatkan 43 lot dengan 24 struktur sedia ada, selain pengalihan utiliti seperti bekalan elektrik, air dan telekomunikasi.
“Saya tidak mahu kelewatan dalam aspek asas ini menjejaskan permulaan kerja fizikal projek,” tegasnya.
Beliau turut berkongsi bahawa usaha mendapatkan peruntukan projek ini telah digerakkan sejak 2021 ketika beliau berkhidmat di Pejabat Ketua Menteri Sabah.
“Dengan sokongan penuh Ketua Menteri Sabah, projek ini dimasukkan dalam perancangan pembangunan Persekutuan pada 2023 melalui kajian awalan.
“Malah pada 31 Mei 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pelaksanaannya ketika menghadiri program di Kinarut,” katanya.
Dalam lanskap pembangunan yang terus berevolusi, projek ini dilihat sebagai katalis yang menghubungkan keperluan tradisi—akses, keselamatan dan kesejahteraan rakyat—dengan aspirasi masa depan yang lebih terancang dan mampan.

MESYUARAT …. Armizan diiringi Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Juil Nuatim ketika mempengerusikan Sesi Taklimat Status Projek Infrastruktur Utama Parlimen Papar.







