Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas 305.722 kilogram dadah jenis syabu yang cuba diseludup masuk melalui kontena laut di Pelabuhan Sepanggar, 22 April lalu.
Semua dadah yang diisytiharkan sebagai barangan minuman atau ‘drink stuff’ itu dianggarkan bernilai RM15.28 juta.
Pengarah JKDM Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, bertindak atas maklumat risikan cawangan narkotik JKDM Sabah, pasukan operasi melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kontena sepanjang 40 kaki yang baru tiba dari Pelabuhan Klang.
“Hasil pemeriksaan telah menemui 15 kotak yang disyaki mengandungi dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat kasar 305.722 kilogram dianggarkan bernilai RM15,286,100.
“Modus operandi yang digunakan ialah mengikrar barangan sebagai ‘drink stuff’ di dalam bill of landing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara Kastam, Jalan Sulaman, di sini.
Dr Taufik berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
“Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan melibatkan rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan lain-lain termasuk dadah serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.


RAMPASAN DADAH …. Dr Ahmad menunjukkan dadah jenis syabu yang berjaya dirampas.







