Semporna pemangkin utama agenda Ekonomi Biru Sabah

Oleh Wu Vuide


SEMPORNA: Semporna berpotensi menjadi pemangkin utama kepada transformasi ekonomi Sabah menerusi agenda Ekonomi Biru, kata Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.
Beliau berkata, potensi besar yang dimiliki daerah itu mampu menjana limpahan ekonomi berskala besar sekiranya diurus secara strategik, sekali gus memberi manfaat bukan sahaja kepada masyarakat setempat tetapi juga kepada seluruh negeri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena lawatan kerjanya ke daerah itu bersempena Pemeriksaan Keselamatan Zon ESS di sebuah hotel, di sini.
Menurutnya, Semporna kini berada di hadapan dalam beberapa inisiatif penting yang boleh dijadikan penanda aras, khususnya dalam sektor pelancongan marin berimpak tinggi dan lestari.
Sebagai contoh, katanya, Pulau Sipadan berjaya melaksanakan sistem kuota pelawat harian yang kini menjadi model pengurusan pelancongan bernilai tinggi dan mampan, sekali gus memastikan keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan aktiviti ekonomi.
“Di Taman Marin Tun Sakaran pula, kita menyaksikan sinergi harmoni antara pelancongan, pemuliharaan biodiversiti dan penyertaan komuniti. Inilah asas kepada konsep pelancongan berasaskan komuniti yang mahu kita perluaskan supaya kekayaan alam Semporna dapat dikembalikan kepada rakyatnya,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri kini mempergiat usaha mentransformasikan sektor akuakultur marin bagi mewujudkan peralihan daripada pengeluaran bahan mentah kepada ekonomi bernilai tambah.
Katanya, antara fokus utama kerajaan ialah memperluaskan zon akuakultur bersepadu berskala komersial, memperkenalkan teknologi sangkar laut moden yang lebih cekap dan mesra alam, selain memperkukuh sokongan kepada usahawan rumpai laut bagi meningkatkan produktiviti serta memastikan produk mencapai standard eksport.
“Pada masa sama, kita juga berusaha menarik pelaburan berimpak tinggi dalam sektor hiliran pemprosesan makanan laut supaya rantaian nilai ekonomi dapat dikawal secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, bagi menyokong pertumbuhan sektor itu, kerajaan turut merangka pelan menaik taraf infrastruktur sokongan kritikal di Semporna.
Menurutnya, ia merangkumi pemodenan kemudahan jeti dan rangkaian logistik, pembangunan sistem rantaian sejuk yang komprehensif bagi menjamin kualiti makanan laut, memperluaskan akses ke pasaran eksport antarabangsa, selain menyediakan kemudahan pelancongan awam yang lebih tersusun, selamat dan bertaraf dunia.
Hajiji berkata, agenda pembangunan besar di Semporna tidak akan menjadi kenyataan tanpa kepimpinan akar umbi yang kukuh serta komitmen tinggi terhadap prinsip kelestarian.
Beliau berkata, kawasan tumpuan seperti Pulau Mabul dan Pulau Kapalai kini berdepan tekanan akibat kesesakan dan pembangunan pesat yang memerlukan pendekatan pengurusan lebih berhemah.
“Jika tidak diurus dengan baik, kita berisiko merosakkan aset semula jadi yang menjadi lombong emas ekonomi negeri. Kelestarian perlu dilihat sebagai pelaburan, bukannya beban,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru pemimpin tempatan memainkan peranan lebih proaktif sebagai ‘penjaga utama’ ekosistem dengan membantu penguatkuasaan peraturan, membanteras aktiviti tidak lestari, menggerakkan kempen kesedaran komuniti serta menggalakkan penglibatan belia dalam sektor Ekonomi Biru yang dipacu inovasi dan teknologi moden.
Hajiji turut menegaskan setiap pembangunan di Semporna mesti berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kelestarian jangka panjang.
Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pembangunan yang hanya mengejar keuntungan jangka pendek sehingga mengorbankan masa depan negeri.
Beliau berkata, Semporna mempunyai potensi untuk muncul sebagai hab pelancongan marin lestari bertaraf dunia, pusat akuakultur moden dan pengeluar makanan laut premium utama negara, selain menjadi model pembangunan ekonomi komuniti pesisir pantai serta pusat rujukan kecemerlangan Ekonomi Biru di Sabah.
Hajiji berkata, beliau yakin dengan komitmen padu semua pihak termasuk agensi kerajaan negeri, kepimpinan daerah, agensi pelaksana dan masyarakat setempat, Semporna mampu merealisasikan aspirasi tersebut.
“Apa yang kita rancang dan laksanakan hari ini adalah janji kita kepada generasi akan datang supaya mereka mewarisi lautan yang bukan sahaja kaya dengan keindahan alam semula jadi, tetapi juga sarat dengan peluang ekonomi yang menjamin kehidupan lebih sejahtera,” katanya.

HADIR …. Hajiji bersalaman dengan ketua jabatan dan agensi keselamatan ketika menghadiri majlis makan malam sempena pemeriksaan keselamatan Zon ESS di Semporna.