Catat keuntungan sebelum cukai RM683 juta pada 2025
Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Yayasan Sabah mencatat pencapaian bersejarah apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM683 juta bagi tahun 2025, meningkat 17 peratus berbanding RM586 juta pada tahun sebelumnya.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan pengurusan serta komitmen seluruh warga Kumpulan Yayasan Sabah dalam memacu prestasi kewangan yang cemerlang.
“Di peringkat syarikat pula, Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), iaitu cabang pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah, mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM243 juta, meningkat 35 peratus berbanding RM179 juta pada tahun sebelumnya.
“Ia juga merupakan rekod keuntungan tertinggi dalam sejarah syarikat. Pencapaian ini jelas membuktikan keupayaan pengurusan serta komitmen seluruh pasukan telah menghasilkan prestasi yang sangat cemerlang. Syabas saya ucapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Joachim Gunsalam pada Malam Anugerah Yayasan Sabah di Sabah International Convention Centre pada Rabu.
Turut hadir Pengarah Yayasan Sabah, Ghulam Haidar Khan Bahadar.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, ICSB turut mengisytiharkan dividen berjumlah RM160 juta pada tahun 2025, meningkat tujuh peratus berbanding RM150 juta pada tahun sebelumnya.
“Pencapaian ini merupakan rekod pembayaran dividen tertinggi dalam sejarah ICSB. Pada masa sama, ICSB kekal sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah yang membayar dividen tertinggi di negeri ini bagi lima tahun berturut-turut.
“Kita optimis prestasi ini akan terus melonjak pada tahun 2026 selaras dengan kedudukan kewangan yang kukuh dan prospek perniagaan yang positif,” katanya.
Menurut beliau, sektor agro-perladangan terus menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan kumpulan dengan keuntungan gabungan RM323 juta.
Sementara itu, sektor pelancongan dan riadah mencatat keuntungan RM65 juta, manakala sektor minyak, gas dan tenaga menunjukkan lonjakan ketara apabila merekodkan keuntungan RM40 juta berbanding hanya RM0.07 juta pada tahun 2024.
Hajiji berkata, peranan Kumpulan Yayasan Sabah sebagai jentera strategik kerajaan negeri amat penting dalam memperkasa ekonomi serta pembangunan sosial rakyat Sabah.
“Sebagai jentera strategik kerajaan negeri, saya berbangga kerana Kumpulan Yayasan Sabah terus cekal memacu pelbagai program berimpak tinggi meliputi pendidikan, pembangunan modal insan, sosioekonomi, konservasi dan penyelidikan.
“Ia sejajar dengan misi penubuhannya untuk terus menjadi nadi pembangunan pendidikan dan sosial bermula dari peringkat rendah hingga ke institusi pengajian tinggi,” katanya.
Beliau berkata, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang diperkenalkan menerusi Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah telah memberi manfaat kepada 15,629 pelajar melibatkan dana sebanyak RM25.1 juta.
Menurutnya, usaha agresif kutipan pinjaman pendidikan pada tahun 2025 turut mencatat rekod tertinggi sejak Yayasan Sabah ditubuhkan iaitu sebanyak RM8.03 juta, meningkat 22.4 peratus berbanding rekod terdahulu RM6.6 juta.
“Gandingan kutipan bayaran balik pinjaman dan TPNS telah membantu menyediakan dana bagi memenuhi komitmen pendidikan Kumpulan Yayasan Sabah,” katanya.
Dalam aspek pembangunan masyarakat pula, sebanyak 613 program sosial berjaya dilaksanakan melalui enam pejabat zon dengan kadar pencapaian 100 peratus, memberi manfaat kepada 78,648 penerima menerusi peruntukan RM4.26 juta.
Hajiji berkata, University College Sabah Foundation (UCSF), institusi pengajian tinggi milik penuh Kumpulan Yayasan Sabah, turut mencatat pertumbuhan memberangsangkan dengan enrolmen melebihi 1,100 pelajar selain memperkenalkan kursus inovatif bermula tahun 2025.
“UCSF kini aktif membina jaringan antarabangsa melalui kerjasama dengan universiti dari Brunei Darussalam, Bosnia, Turki, Azerbaijan, Indonesia, Filipina dan United Kingdom,” katanya.
Sementara itu, Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) menerima mandat daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) bernilai RM1.2 juta bagi melatih 460 peserta menerusi Program Khas Anak Negeri (PKAN).
Dua projek baharu turut diperkenalkan iaitu Projek Rintis Akademik Sekolah Menengah dan Gerakan Ekonomi Makanan Inovasi Laut (GEMILAU).
Dalam pada itu, Hajiji turut memuji komitmen Yayasan Sabah dalam usaha pemuliharaan alam sekitar termasuk kolaborasi bersama Preferred by Nature bagi Pelan Pengurusan Strategik Ketiga Kawasan Konservasi Lembangan Maliau.
“Kumpulan Yayasan Sabah juga terus memperkukuh pengurusan ekopelancongan melalui kerjasama dengan pelbagai kawasan perlindungan taman di seluruh Malaysia,” katanya.
Sempena ulang tahun ke-60 Yayasan Sabah pada 10 Mei ini, beliau menyeru agar institusi itu terus menjadi pelopor dalam melahirkan modal insan berilmu, berintegriti dan berkemahiran tinggi.
“Saya juga berharap Kumpulan Yayasan Sabah terus inovatif dan relevan dengan arus pembangunan moden serta bersama-sama menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.

KENANGAN …. Joachim diiringi Ghulam Haidar Khan Bahadar bergambar bersama penerima anugerah Yayasan Sabah di Sabah International Convention Centre pada malam Rabu.






