KTC mulakan pembinaan hab logistik dan gudang RM150 juta

Bukti kejayaan syarikat tempatan Sabah – Ewon

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick menyifatkan langkah KTC Consolidated Berhad memulakan pembinaan hab logistik dan gudang bernilai RM150 juta di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) sebagai bukti kejayaan syarikat tempatan Sabah yang semakin menyerlah di peringkat nasional dan antarabangsa.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, pelaburan berimpak tinggi itu mencerminkan keyakinan sektor korporat terhadap potensi ekonomi Sabah, selain membuktikan kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan kepada syarikat tempatan yang berwibawa dan berdaya saing.
“Kejayaan KTC hari ini sebagai syarikat tempatan Sabah yang tersenarai di Bursa Malaysia dan terus melabur di negeri ini membuktikan bahawa kerajaan negeri memberi keutamaan kepada syarikat tempatan yang mempunyai kredibiliti dan kemampuan untuk memacu pembangunan sektor perindustrian Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek hab logistik dan gudang KTC Consolidated Berhad di KKIP, di sini.
Menurutnya, projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh kira-kira satu setengah tahun dan bakal mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.
“Pelaburan ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menerusi penglibatan dalam rantaian bekalan serta perkhidmatan berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan itu turut mencerminkan momentum positif sektor perindustrian Sabah yang kini semakin berkembang hasil kerjasama strategik dengan pelabur domestik dan antarabangsa.
Katanya, kementeriannya akan terus menyediakan sokongan, khidmat nasihat dan fasilitasi bagi memudah cara pelaburan tempatan serta asing yang berminat menjadikan Sabah sebagai destinasi pelaburan.
“Misi perdagangan Sabah ke China minggu lalu turut memperlihatkan keyakinan pemain industri antarabangsa terhadap potensi Sabah sebagai hab pembangunan perindustrian baharu di rantau ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon menyifatkan Dexter Lau sebagai “Duta Sabah ke China” atas peranannya memperkukuh jaringan pelaburan antara Sabah dan negara itu.
Beliau berkata, antara hasil misi perdagangan tersebut ialah pemeteraian perjanjian awal antara KTC dan syarikat automotif China, Dongfeng Motor, melibatkan nilai kira-kira RM30 juta.
Katanya, kerjasama itu termasuk cadangan pembinaan kilang pemasangan sebanyak 200 kenderaan di Sabah, sekali gus membuktikan minat berterusan pelabur luar terhadap negeri ini walaupun ekonomi global berdepan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan.
“Mereka memahami cabaran ekonomi global dan krisis semasa, namun masih menyatakan hasrat untuk berkembang ke Asia Tenggara melalui Sabah.
“Pada hujung bulan ini, satu delegasi dari China akan berkunjung ke Sabah, diikuti satu lagi delegasi pemain industri pada Julai nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Ewon berkata, kerajaan negeri kini meneliti dasar serta insentif khas bagi membantu syarikat PKS tempatan membuka operasi di taman-taman perindustrian di Sabah.
Menyentuh isu kesesakan di pelabuhan dan kesan krisis Timur Tengah terhadap ekonomi global, beliau berkata kerajaan negeri sedang melaksanakan pelan tindakan interim yang akan dibentangkan kepada Kabinet Negeri.
“Saya akan membentangkan perkembangan terkini mengenai pelan tindakan interim yang telah dipersetujui pada Februari lalu kepada kabinet negeri,” katanya.
Beliau turut optimis terhadap rancangan kerajaan negeri membuka tiga lagi taman perindustrian baharu di Kota Belud, Beaufort dan Kudat yang diyakini mampu menarik lebih banyak pelaburan asing ke Sabah pada masa depan.
“Saya melihat Sabah kini berada pada tahap yang semakin diyakini pelabur asing dan mudah-mudahan hasrat kerajaan membuka tiga lagi taman perindustrian baharu di Kota Belud, Beaufort dan Kudat akan memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelaburan strategik di rantau ini,” katanya.

PECAH TANAH: Ewon diiringi Mohd Zuki, Lau Kok Sing dan Dexter Lau menyempurnakan gimik perasmian majlis pecah tanah projek hab logistik dan gudang KTC Consolidated Berhad di KKIP, Kota Kinabalu, hari ini.