Oleh Wu Vuide
KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, Jeffrey Kitingan menegaskan Sabah tidak boleh berkompromi dalam mempertahankan autonomi serta hak kedaulatan negeri berkaitan hal ehwal imigresen yang disifatkan semakin terhakis menerusi beberapa undang-undang Persekutuan.
Beliau berkata, pendirian tegas tanpa kompromi itu juga perlu diperluaskan terhadap hak-hak kedaulatan lain yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia pada tahun 1963 dan termaktub dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) serta Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, pemimpin Sabah perlu mencontohi ketegasan Sarawak dalam mempertahankan hak negeri masing-masing.
Jeffrey turut memuji Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) kerana berani menyuarakan kebimbangan berhubung pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) atau AKPS di Sabah.
“Kredit kepada KPPIS dan pegawai imigresen kerana membangkitkan kebimbangan mereka sehingga membawa kepada keputusan Kerajaan Negeri menangguhkan pelaksanaan Akta 860 dan AKPS di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kuasa autonomi Sabah dalam hal imigresen dilindungi di bawah undang-undang negara serta pernah diperakui mahkamah Malaysia.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri perlu mengekalkan pendirian tegas bukan sahaja dalam isu imigresen tetapi juga dalam perkara lain yang melibatkan hak dan autonomi Sabah.
Menurut Jeffrey, Akta 860 bukan sahaja memberi kesan kepada kuasa imigresen negeri, malah turut menyentuh bidang pertanian dan veterinar termasuk urusan pelesenan, import serta kuarantin hasil pertanian dan ternakan.
Katanya, Jabatan Perkhidmatan Pertanian Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah selama ini mempunyai kawalan penuh dalam melindungi negeri daripada ancaman penyakit serta risiko luar, namun fungsi itu berpotensi diambil alih pihak Persekutuan menerusi AKPS.
Beliau turut mendakwa beberapa undang-undang Persekutuan lain telah menceroboh hak kedaulatan Sabah termasuk Akta Laut Wilayah, Akta Pelantar Benua, Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74), undang-undang perlombongan petroleum serta sebahagian Ordinan Buruh Sabah yang telah dipersekutukan.
Jeffrey menggesa beberapa undang-undang terbabit termasuk Akta 860 ditangguhkan sementara menunggu semakan semula atau penolakan terhadap peruntukan yang dianggap menjejaskan autonomi Sabah.
Mengenai isu kenegaraan dan pendaftaran rakyat Sabah, beliau berkata Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah proaktif dalam menentukan pengiktirafan kewarganegaraan Sabah sebelum ia diterima pakai oleh Jabatan Pendaftaran Negara bagi tujuan kewarganegaraan Malaysia.
“Seperti autonomi imigresen di bawah bidang kuasa negeri, bukan peranan JPN untuk menentukan kewarganegaraan Sabah,” katanya.

DR JEFFREY KITINGAN






