Potensi jualan produk Sabah cecah RM95.9 juta tahun 2025

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menerusi pelbagai inisiatif pemerkasaan usahawan tempatan berjaya meningkatkan kebolehpasaran produk Sabah ke peringkat antarabangsa apabila merekodkan potensi jualan mencecah RM95.9 juta sepanjang tahun 2025.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pencapaian itu direkodkan hasil penyertaan 124 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam 18 ekspo perdagangan antarabangsa.
“Prestasi ini menunjukkan peningkatan sebanyak 37.12 peratus berbanding RM60.4 juta pada tahun sebelumnya dan membuktikan produk keluaran Sabah mempunyai kualiti serta potensi besar untuk bersaing di pasaran global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Inspirasi Beli Barangan Malaysia Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Hajiji berkata, bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri akan terus memperluas akses pasaran antarabangsa menerusi penyertaan dalam pelbagai ekspo perdagangan utama di beberapa negara termasuk Singapura, Thailand, Korea Selatan, Jepun dan Perancis.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja membuka peluang pasaran baharu kepada usahawan Sabah, malah memperkenalkan identiti serta keunikan produk tempatan ke persada dunia.
Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) turut diberikan mandat penting dalam memperkukuh pembangunan sektor keusahawanan dan industri tempatan.
Katanya, pelbagai program sokongan termasuk bantuan mesin dan peralatan perniagaan turut dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti usahawan tempatan.
“Sehingga tahun 2025, seramai 5,879 usahawan tempatan menerima manfaat bantuan ini khususnya dalam meningkatkan produktiviti, kecekapan serta kemampuan perusahaan untuk terus berkembang,” katanya.
Hajiji berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, agensi pelaksana dan pemain industri amat penting bagi memastikan agenda memperkukuh ekonomi domestik serta memartabatkan produk tempatan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan demi manfaat rakyat dan kemajuan Sabah.
Beliau turut menyeru usahawan Sabah agar merebut peluang mengetengahkan produk berkualiti tinggi yang mempunyai keunikan tersendiri untuk dipasarkan secara lebih meluas.
“Masih ramai usahawan kita bergerak dalam skala kecil dan belum memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia.
“Ada produk yang sangat baik tetapi belum dipasarkan secara agresif. Ada yang berkualiti tetapi masih lemah dari segi penjenamaan dan pembungkusan. Ada juga yang mempunyai potensi besar tetapi belum berani menembusi pasaran luar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu usahawan Sabah berani keluar daripada zon selesa dengan meneroka peluang baharu dan meningkatkan daya saing produk masing-masing.
“Kalau mahu pergi lebih jauh, kita mesti berani berubah, berani belajar dan berani meneroka peluang baharu. Untuk menembusi pasaran global, kita mesti bersedia dari semua aspek termasuk memastikan kualiti produk konsisten dan pembungkusan memenuhi standard antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata sektor pelancongan Sabah juga membuka peluang besar kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk mereka kepada pelancong.
Katanya, Sabah merekodkan kemasukan 10.67 juta pelancong dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM23.42 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025.
“Jika diurus dengan baik, produk tempatan mampu menjadi kekuatan ekonomi baharu yang membanggakan negara.
“Justeru, usahawan Sabah perlu memanfaatkan peluang sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk memperkenalkan produk tempatan kepada pelancong yang datang ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, platform seperti Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerana bukan sahaja menjadi ruang jualan, malah medium membina jaringan kerjasama, memperkukuh jenama dan membuka akses kepada pasaran lebih besar.
Menurutnya, pelaksanaan KBBM pada tahun 2024 mencatatkan nilai jualan RM7.4 bilion berbanding RM6.5 bilion pada 2023 dan RM2.7 bilion pada 2022.
Katanya, sektor perdagangan runcit dan borong negara turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan nilai jualan RM1.87 trilion pada 2025 berbanding RM1.766 trilion pada tahun sebelumnya.
“Pencapaian ini mencerminkan pertumbuhan aktiviti ekonomi domestik, peningkatan keyakinan pengguna dan perkembangan pesat sektor perdagangan negara.
“Ia membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem perdagangan domestik termasuk melalui pelaksanaan kempen seperti KBBM semakin memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

BAGUS …. Hajiji bersama Armizan Mohd Ali menunjukkan isyarat bagus ketika melawat salah satu gerai pada Program Inspirasi Beli Barangan Malaysia Peringkat Negeri Sabah di SICC, pada Sabtu