KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengambil keputusan merombak struktur parti dengan menjadikan kawasan Parlimen berbanding Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai bahagian.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, perubahan itu yang dibuat menerusi pindaan perlembagaan parti akan menyaksikan Gagasan Rakyat mempunyai 26 bahagian baharu berbanding 74 bahagian termasuk Labuan sebelum ini.
Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, penstrukturan itu penting dalam usaha memperkukuh Gagasan Rakyat di semua bahagian, di samping memastikan bahagian yang kecil dapat disatukan untuk menjadi lebih besar dan kuat, selain memastikan kestabilan berterusan kerajaan negeri.
“Sebagai Presiden Parti, saya yakin keputusan ini tepat, perlu dan bertanggungjawab kerana kalau kita mahu parti Gagasan Rakyat terus memimpin, parti kita tidak boleh sekadar kelihatan besar pada nama atau jumlah bahagian yang banyak semata-mata.
“Kita kena pastikan parti kita tersusun rapi, sentiasa bergerak sebagai satu pasukan, dan jelas arah perjuangannya.
“Selama ini, kita mempunyai 74 Bahagian mengikut kawasan DUN, termasuk Labuan.
“Di atas kertas, ia nampak besar, nampak gah dan nampak lengkap tetapi realitinya, tidak semua Bahagian bergerak pada tahap yang sama.
“Ada Bahagian yang gerak kerjanya sangat aktif, cawangannya hidup, ahlinya ramai, namun ada juga Bahagian yang cawangannya kecil, keahliannya nipis dan kekuatan jenteranya belum mencapai tahap yang diperlukan.
“Kalau struktur terlalu banyak, tetapi kekuatannya tidak seimbang, maka sumber parti akan terpecah terlalu kecil,” katanya pada ucaptama Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.
Hajiji berkata, persidangan khas itu adalah satu titik penting dalam perjalanan parti pimpinannya untuk melaksanakan satu keputusan besar diputuskan Majlis Tertinggi parti, demi masa depan Gagasan Rakyat.
Katanya, keputusan itu dibuat dengan penuh pertimbangan setelah melihat realiti politik semasa, kekuatan organisasi Gagasan Rakyat, kesiapsiagaan jentera dan tanggungjawab sebagai parti yang memimpin kerajaan negeri.
“Majlis Tertinggi telah melihat perkara ini secara jujur dan matang. Kalau struktur lama tidak lagi memberikan kekuatan yang optimum, maka struktur itu mesti disusun semula.
“Terus terang saya katakan, sesebuah parti tidak boleh dipimpin hanya dengan semangat emosi dan perasaan kerana akhirnya, parti kita bukan sekadar mahu wujud, parti kita ini mesti cukup kuat atau bertahan, cukup tersusun atau bergerak ke hadapan.
“Cukup diyakini dan memimpin dan cukup bersatu untuk terus memenangi kepercayaan rakyat.
“Maka atas sebab itu pindaan ini diputuskan, bukan untuk menafikan jasa sesiapa atau mengenepikan pengorbanan sesiapa tetapi untuk memperkukuhkan Parti Gagasan Rakyat Sabah,” katanya.
Hajiji mengakui tindakan penstrukturan parti itu daripada 74 Bahagian kepada hanya 26 Bahagian Parlimen, termasuk Labuan, pasti ada perubahan kedudukan, cara dan susunan gerak kerja parti.
“Itu adalah hakikat dalam mana-mana proses penyusunan semula tetapi saya mahu tegaskan dengan jelas; bahawa yang berubah hanyalah struktur parti, bukan nilai perjuangan parti, bukan kepercayaan parti kepada ahli-ahlinya.
“Jasa dan pengorbanan ahli parti tidak pernah terpadam hanya kerana struktur parti ini diperbaharui kerana nilai sebenar perjuangan tidak terletak pada gelaran atau kedudukan tetapi pada kesetiaan dan khidmat kepada parti serta rakyat,” katanya.
Hajiji turut mengakui Gagasan Rakyat dapat berdiri hari ini kerana orang-orang kuat di bawahnya yang berjalan dari kampung ke kampung, dari rumah ke rumah dan dari majlis ke majlis dengan menggunakan masa dan tenaga sendiri, malah wang sendiri.
“Saya nampak semua itu, saya tahu nilai pengorbanan itu dan saya menghargai semua itu.
“Sebab itu penyusunan semula ini bukan untuk memadam peranan sesiapa, sebaliknya, ia dibuat supaya semua kekuatan itu dapat diatur dengan lebih baik.
“Kalau dahulu tuan-tuan memimpin di peringkat DUN, selepas ini peranan itu tetap penting dalam jentera Parlimen, cawangan, komuniti, gerak kerja pilihan raya dan struktur akar umbi parti.
“Jawatan boleh berubah, struktur boleh berubah, susunan boleh berubah tetapi perjuangan untuk Sabah tidak boleh berubah,” katanya.

MESRA …. Hajiji bersalam dengan ahli-ahli parti yang menghadiri persidangan itu.






