Bangkai gajah dengan kesan jenayah ditemui

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah mengesahkan akan mengambil tindakan serius berhubung penemuan bangkai gajah di kawasan Hutan Simpan Sungai Pinangah, Tongod.
Ia berikutan penemuan beberapa kesan yang dipercayai mempunyai unsur jenayah terhadap hidupan liar berkenaan.
Dalam kenyataan, kementerian memaklumkan, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah sedang menjalankan siasatan di lokasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), renjer komuniti dan pihak ladang.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku pada 17 Mei lalu berikutan terdapat saksi di kawasan ladang yang mendakwa terdengar bunyi letupan kuat.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut pada hari sama tidak dapat dilakukan berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
“Pada keesokan harinya, pasukan ladang menemui bangkai seekor gajah jantan Borneo (elephas maximus Borneensis) dengan sebahagian kepala dan gading didapati hilang dipercayai telah dipotong,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kelmarin.
Menurutnya, laporan segera sudah dibuat kepada pihak berkuasa sebelum pasukan JHL digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala yang dipercayai akibat penggunaan alat tajam.
“Setakat ini, tiada kesan tembakan ditemui dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian serta individu yang terlibat.
“Beberapa bahan bukti turut ditemui di lokasi kejadian dan telah diserahkan untuk siasatan, termasuk kotak rokok serta botol air,” katanya.
Sementara itu, kenyataan berkenaan memaklumkan, JHL telah melaksanakan tindakan segera termasuk operasi sekatan jalan raya (SJR) dengan kerjasama PDRM selain memperkukuh rondaan di kawasan terlibat.
“Kementerian turut menegaskan bahawa kes berkenaan sedang disiasat secara menyeluruh dan menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi.
“Kerajaan Negeri komited memastikan perlindungan hidupan liar sentiasa diberi keutamaan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pemburuan haram atau jenayah hidupan liar,” tegasnya.

CEDERA …. Keadaan bangkai gajah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.