Oleh JOHN TAMBANAN
SEPANGGAR: Pelajar di kawasan Parlimen Sepanggar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT) dan TIVET bakal menerima insentif khas sekali bayar atau `one off’.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban awal kemasukan pelajar khususnya dari golongan B40.
Katanya, pelajar yang melanjutkan pengajian di luar Sabah akan menerima RM500, manakala RM300 diberikan kepada pelajar yang menyambung pengajian di institusi sekitar Sabah.
“Pelajar cuma sertakan surat tawaran dan nombor akaun masing-masing dan kita akan masukkan insentif ini kepada anak-anak Sepanggar ini yang layak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Madani SPM 2025 Parlimen Sepanggar di Dewan Rafflesia Politeknik Kota Kinabalu, di sini pada Isnin.
Mustapha, yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, agenda pendidikan generasi Parlimen Sepanggar menerusi Program Anugerah Cemerlang Madani Tahun 2025, melibatkan seramai 477 penerima bermula daripada 6A hingga 12A.
“Pada masa yang sama kita juga merasa gembira kerana ada 80 orang pelajar yang turut mendapat pencapaian agak baik setelah menjalani tusyen Madani yang diadakan percuma di Parlimen Sepanggar,” katanya.
“Tahun lepas 12 orang dan tahun ini 80 penerima. Jadi maknanya tusyen percuma yang kita adakan ini semakin berkesan.
Kita juga telah panjangkan tusyen ini kepada sekolah-sekolah berdekatan dan selepas ini kita akan cuba lagi untuk memanjangkan kepada sekolah-sekolah lain yang memerlukan,” katanya.

Mustapha diiringi tetamu khas lain bergambar kenangan bersama sebahagian pelajar cemerlang di majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Madani SPM 2025 Parlimen Sepanggar di Dewan Rafflesia Politeknik Kota Kinabalu, di sini pada Isnin.







