Karnival STEM pupuk minat murid terhadap pembelajaran interaktif

LABUAN: Unit Kurikulum dan Kelab Guru dan Komuniti Sekolah (KGKS), Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT) menganjurkan Karnival STEM dengan kerjasama Universiti Malaya, SK Sungai Lada dan SK Bebuloh di Dewan Gemilang SK Lubok Temiang, baru-baru ini.
Program berkenaan dikendalikan oleh fasilitator jemputan iaitu Ketua Projek Program STEM Bersama Komuniti Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Jadeera Cheong dan Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Rizal Mohd. Razman bersama pasukan projek STEM universiti itu.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Unit Sains dan Matematik Jabatan Pendidikan WP Labuan, Norhayati Yahya; Guru Besar SKLT, Farida Abdul Rahman; Mentor Kajian Penandaarasan Antarabangsa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Labuan, Datin Hanijah Meskan serta Pengerusi KGKS, Aznan Abidin.
Farida berkata, penganjuran program itu bertujuan memberi pengalaman pembelajaran bermakna kepada murid melalui pendekatan belajar sambil bermain yang mampu menjadikan proses pembelajaran lebih aktif dan menyeronokkan.
Menurutnya, pendekatan tersebut juga membantu murid menghubungkan teori dengan aplikasi praktikal selain melihat sendiri kegunaan matematik dalam kehidupan seharian.
“Program ini dapat meningkatkan penglibatan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) melalui aktiviti interaktif yang menarik minat mereka untuk terus belajar.
“Pada masa sama, ia turut membentuk kemahiran insaniah seperti kepimpinan, disiplin dan keyakinan diri menerusi aktiviti berkumpulan,” katanya.
Seramai 110 murid menjayakan program berkenaan membabitkan 90 murid Tahun Dua SK Lubok Temiang, 15 murid Tahun Dua SK Bebuloh dan 15 murid Tahun Satu SK Sungai Lada.
Farida berharap program itu mampu memberi impak positif kepada murid-murid daripada ketiga-tiga sekolah terlibat, khususnya SK Lubok Temiang selaku tuan rumah program.
Beliau berkata, murid juga dapat mengaplikasikan konsep matematik dalam situasi sebenar melalui aktiviti hands-on yang dijalankan sepanjang karnival berkenaan.
“Murid dapat mengaitkan pembelajaran dengan kehidupan harian selain menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif.
“Mereka turut dilatih berfikir secara logik, membuat analisis dan mencipta penyelesaian inovatif menerusi aktiviti STEM yang dijalankan,” katanya lagi.

ALBUM …. Dr Rizal (kanan), Dr Jadeera, Farida (tengah) dan Norhayati (kiri) bersama murid-murid yang menjayakan program berkenaan.