Oleh JOHN TAMBANAN
PUTATAN: Penduduk setempat di Putatan khususnya di lokaliti Tanjung Keramat digesa untuk berkerjasama erat dengan pihak berwajib dalam memastikan kebersihan kawasan terus terjaga dari semasa ke semasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat Shah Alfie Yahya (SAY) berkata, penjagaan kawasan rumah, parit dan laman dapat menangani permasalahan penyakit dan wabak denggi.
Sehubungan itu, kerjasama amat dituntut dan tidak terlalu bergantung harap dengan pihak berkaitan terutama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Daerah Putatan (MDPTN) yang melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan atau pembersihan.
“Kita harap para penduduk Tg Keramat supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab membersihkan halaman dan bergotong royong dengan jiran setempat.
“Berdasarkan tinjauan kami, masih banyak kawasan parit di kawasan perumahan, kampung kotor dan kita meminta supaya pihak berwajib supaya turut mengajak para penduduk meningkatkan kesedaran terhadap aspek kebersihan, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan program walkabout di beberapa kawasan dekat sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut program walkabout itu, katanya ia merupakan kesinambungan program yang diadakan sebelum ini dalam meninjau keadaan perparitan, masalah jalan, infrastruktur di kawasan yang dilawati.
“Kami juga melakukan tinjauan terhadap struktur pili bomba di kawasan yang dilawat dan saya berpuas hati dengan keadaan semasa.
“Saya menyeru para penduduk sekitar supaya tidak meletakkan kenderaan mereka yang mampu menghalang pili bomba ini kerana ia akan menyukarkan pihak bomba sekiranya ada kecemasan.
“Manakala isu-isu lain seperti perparitan, masalah sampah, infrastruktur pembangunan setempat juga kami lakukan tinjauan dan sudah diajukan kepada pihak berkaitan untuk tujuan penyelesaian secara tuntas, ” katanya.
Katanya, antara isu lain yang berbangkit adalah permasalahan parkir kereta sehingga kesesakan dan ketidakselesaan penduduk juga mendapat keperihatinan dalam program walkabout berkenaan.

PERIKSA …. SAY memeriksa keadaan parit dalan kawasan DUN Ketamat.








