Jelajah PMMS ke Kg Ulu Bole fokus keselamatan komuniti, perpaduan rakyat

Oleh JOHN TAMBANAN
SIPITANG: Persatuan Masyarakat Murut Sipitang (PMMS) meneruskan Jelajah PMMS siri ketiga ke Kampung Ulu Bole di sini pada Sabtu dengan memberi penekanan terhadap aspek keselamatan komuniti, kebajikan rakyat serta pengukuhan hubungan masyarakat luar bandar.
Program sehari itu menghimpunkan penduduk kampung bersama kepimpinan PMMS menerusi pelbagai aktiviti komuniti termasuk latihan penggunaan alat pemadam api, penyampaian sumbangan keselamatan kebakaran serta sukan tradisional rakyat.
Menurut atur cara program, rombongan PMMS memulakan perjalanan seawal jam 8 pagi dari Kampung Kuala Muaya sebelum bertolak ke Kampung Ulu Bole pada jam 9.30 pagi dan tiba kira-kira dua jam kemudian.
Antara pengisian utama program ialah latihan penggunaan alat pemadam api bermula jam 1 petang yang bertujuan meningkatkan kesedaran penduduk mengenai tindakan awal menghadapi kebakaran selain memperkukuh aspek keselamatan di kawasan kampung.
PMMS turut menyampaikan cendera kenangan kepada pegawai bomba serta menyerahkan sumbangan sebuah alat pemadam api kepada komuniti Kampung Ulu Bole sebagai usaha mempertingkat kesiapsiagaan keselamatan penduduk setempat.
Program kemudiannya diteruskan dengan aktiviti sukan tradisional rakyat dan makan malam bersama yang dilihat menjadi medium mengeratkan silaturahim serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat kampung.
Pada sebelah malam, program diisi dengan ucapan perasmian, sesi soal jawab dan santai karaoke sebelum majlis penutupan disempurnakan Presiden PMMS, Eric Suab Boh.-Oleh John Tambanan.

Pegawai Bomba Daerah Sipitang, Bambang dan Hardiyanto menyerahkan alat pemadam api kepada Ketua Kampung Ulu Bole, KK Anom Ampayas serta Miki Antahar yang mewakili WKAN Angai Ating dari Kampung Lumampau sempena Program Jelajah PMMS di Kampung Ulu Bole, Sipitang.