14 kontena ayam sejuk beku dirampas

Oleh FARDY BUNGGA

KOTA KINABALU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup masuk 14 kontena mengandungi ayam sejuk beku di Pelabuhan Sepanggar, di sini, baru-baru ini.
Semua daging ayam yang dipercayai dibawa masuk dari negara China dan Hong Kong berkenaan diisytiharkan sebagai bahan makanan lain seperti ubi kentang dan kacang peas.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan bermula 19 Mei lalu hasil kerjasama strategik antara AKPS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS) serta pihak berkuasa pelabuhan.
Katanya, hasil pemeriksaan dijalankan pegawai AKPS di kawasan Custom Examination Area (CEA) mendapati semua kontena berkenaan mengandungi ayam sejuk beku yang dipercayai dibawa masuk menggunakan pengikraran tidak benar.
“Rampasan melibatkan anggaran berat sebanyak 404,232 kilogram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2.43 juta.
“Produk berkenaan dipercayai berasal dari China dan Hong Kong. Modus operandi mendapati semua barangan ini telah pun dipaketkan dalam paket yang menunjukkan daripada dua buah negara dan sedia untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pelabuhan Sepanggar, di sini.
Suhaily berkata, susulan kejayaan itu, AKPS menyita keseluruhan dagangan bagi tujuan siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 [Akta 235] berkaitan kesalahan membuat perakuan atau dokumen tidak benar dalam perkara material.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu, Suhaily berkata, AKPS turut mengenal pasti 12 lagi kontena yang dipercayai menggunakan modus operandi serupa dan kini berada di bawah pemantauan pihak berkuasa.
Katanya, semua kontena tambahan itu dianggarkan melibatkan berat keseluruhan sebanyak 348,000 kilogram dengan nilai dagangan kira-kira RM3.42 juta.
“AKPS memandang serius sebarang cubaan membawa masuk dagangan secara tidak sah melalui pengikraran palsu atau sebarang bentuk pelanggaran kawal selia di pintu masuk negara.
“Sehubungan itu, AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan pemeriksaan di semua pintu masuk negara menerusi pendekatan penguatkuasaan bersepadu bersama agensi berkaitan demi memastikan keselamatan sempadan dan pematuhan terhadap undang-undang negara sentiasa terpelihara,” tegasnya.

RAMPAS …. Shuhaily menunjukkan ayam sejuk beku yang berjaya dirampas.