TAWAU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) diminta segera menyiasat serta mengambil tindakan terhadap masalah telekomunikasi yang membelenggu penduduk di kawasan Batu Payung dan Tinagat, di sini.
Gesaan itu disuarakan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan selepas beliau sendiri berdepan gangguan talian apabila panggilan telefon bimbitnya terputus secara tiba-tiba ketika melalui kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tinagat.
Nizam berkata, kejadian itu mendorongnya meninjau sendiri keadaan menara telekomunikasi di Kampung Tinagat Batu 9 selepas menerima aduan berterusan daripada penduduk setempat.
“Saya hairan kerana menara ini sepatutnya sudah menyelesaikan masalah telekomunikasi di kawasan ini, namun apabila turun sendiri ke lokasi, penduduk memaklumkan ia seperti sudah lama tidak berfungsi,” katanya
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui sempena program agihan daging korban di sini.
Menurutnya, hasil tinjauan mendapati kawasan sekitar menara turut tidak diselenggara dengan baik termasuk laluan yang dipenuhi semak samun, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap penyelenggaraan kemudahan berkenaan.
“Keadaan ini memberi kesan kepada hampir 10,000 penduduk di Batu Payung dan Tinagat yang bergantung kepada capaian internet untuk urusan harian termasuk pendidikan serta aktiviti ekonomi digital,” katanya.
Katanya, kawasan bersempadan dengan Indonesia itu turut berdepan masalah talian telefon yang sering bertukar secara automatik kepada rangkaian luar negara seperti Indosat dan Telkomsel.
“Ini menyukarkan penduduk, dan kita berharap SKMM dapat melihat perkara ini dengan lebih serius kerana menara yang dibina sepatutnya menjadi penyelesaian kepada masalah ini,” katanya.
Nizam berkata, menara telekomunikasi berkenaan difahamkan telah siap dibina kira-kira dua hingga tiga tahun lalu, namun masih gagal memberikan manfaat seperti diharapkan penduduk setempat.
Beliau menegaskan, kemudahan internet amat penting untuk pendidikan anak-anak, pembangunan ekonomi digital serta keperluan harian masyarakat luar bandar, justeru tindakan segera perlu diambil bagi menyelesaikan isu berkenaan.

MENARA …. Nizam (kanan) menunjukkan keadaan laluan menuju ke menara telekomunikasi yang dipenuhi semak samun ketika meninjau kawasan berkenaan di Tinagat, Tawau.






