Kereta dinaiki lapan sekeluarga terjunam ke dalam gaung
Oleh FARDY BUNGGA
KENINGAU: Perjalanan lapan sekeluarga berakhir tragedi apabila kenderaan dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung dalam kejadian Jalan Bingkor, Chanang Hill, di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, seorang wanita dilaporkan meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit di dalam kenderaan pacuan empat roda berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus @Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.54 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati kenderaan jenis Toyota Hilux berkenaan berada dalam keadaan terbalik di gaung selepas dipercayai terbabas semasa menuruni jalan curam.
“Pemeriksaan awal mendapati, seorang mangsa wanita tersepit di dalam kenderaan dan operasi mengeluarkan mangsa terus dijalankan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, seramai lima mangsa yang mengalami kecederaan terus dipindahkan ke dalam jentera EMRS dan dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.
Manakala katanya, dua lagi mangsa yang cedera dihantar dengan menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa wanita yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan KKM dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pasukan operasi kemudiannya melaksanakan pemeriksaan lanjut termasuk risiko tumpahan cecair bahan api di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.51 pagi,” katanya.

TERBALIK …. Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari kenderaan terbalik.





