Remaja maut, kereta terbabas hadapan Kompleks Sukan Lahad Datu

LAHAD DATU: Seorang remaja lelaki maut selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas sendiri ke bahu jalan dalam kemalangan di hadapan Kompleks Sukan Lahad Datu, di sini.
Dalam kejadian itu, mangsa, berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan yang dialami.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 7.50 pagi.
Katanya, sepasukan 10 anggota bersama sebuah jentera dan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) segera dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi, mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta yang dipercayai terbabas sendiri ke bahu jalan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan pengusung sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pasukan bomba turut memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.50 pagi,” katanya.

MAUT …. Anggota bomba membawa keluar mangsa dari kereta yang terbabas sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.