Insiden pergaduhan KDCA: Beberapa individu dipanggil beri keterangan

Oleh FARDY BUNGGA


PENAMPANG: Beberapa individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung insiden pergaduhan di Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) sepanjang sambutan Pesta Kaamatan, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, pihaknya mengesan beberapa kejadian susulan video tular di media sosial.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara beberapa individu.
“Pergaduhan yang berlaku tidak melibatkan sebarang penggunaan senjata dan berjaya dileraikan oleh orang awam di lokasi kejadian.
“Setakat ini, beberapa individu telah diambil keterangan untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti semua individu terlibat serta mengesan saksi-saksi kejadian.
“Rakaman video tular di media sosial turut diteliti bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Sehubungan itu, Erwansyah berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, sebarang kenyataan tidak sahih boleh menjejaskan siasatan serta mengganggu ketenteraman awam.
“Pihak polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden berkenaan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

GADU …. Beberapa tangkap layar yang memaparkan insiden pergaduhan di KDCA.