Mohd Lin tampil jawab tuduhan

Nafi tinggalkan parti demi jawatan dan wang

KOTA BELUD: Mantan Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah merangkap bekas Ketua Bahagian Usukan, Mohd Lin Haji Harun, tampil memberikan penjelasan berhubung pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau sejak kebelakangan ini.
Beliau menegaskan dakwaan kononnya dirinya meninggalkan parti demi mendapatkan jawatan atau imbuhan kewangan adalah tidak berasas dan jauh daripada kebenaran.
Menurut Mohd Lin, sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, memang terdapat beberapa siri perbincangan antara kepimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR Sabah, namun beliau tidak pernah melobi sebarang jawatan mahupun kedudukan dalam parti.
“Jawatan yang ditawarkan kepada saya sebelum ini pun saya tolak. Mengenai soal wang, saya tidak pernah mencari kekayaan melalui politik. Saya berusaha sendiri untuk mencari rezeki,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa sejak tahun 1994, beliau telah membina sumber pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada gaji atau kedudukan politik. Antara sumber pendapatannya ialah hasil sewaan rumah di Menggatal yang mempunyai 30 bilik, perniagaan kedai fotostat, tanaman kelapa pandan serta beberapa perusahaan kecil termasuk perkhidmatan mencuci kereta.
“Untuk keperluan hidup, hasil daripada sewaan dan perniagaan yang saya usahakan sudah mencukupi. Saya tidak pernah meminta-minta daripada mana-mana pemimpin,” tegasnya.
Mohd Lin turut menolak tuduhan yang mendakwa beliau memperdaya atau memperbodohkan masyarakat kampung demi kepentingan politik.
Sebaliknya, beliau berkata walaupun tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan, beliau sentiasa berusaha membantu masyarakat yang memerlukan dengan menggunakan sumber kewangan sendiri.
“Saya tidak pernah memperbodohkan orang kampung. Walaupun tidak mempunyai jawatan, saya tetap membantu mereka yang memerlukan mengikut kemampuan saya,” katanya.
Mengulas mengenai prestasinya dalam PRN lalu, Mohd Lin menjelaskan bahawa keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) telah membataskan pergerakan dan aktivitinya untuk turun padang bertemu rakyat.
“Saya tidak pernah melobi untuk menjadi calon. Malah, saya tidak mengadakan perjumpaan bersama keluarga atau masyarakat ketika itu kerana faktor kesihatan,” jelasnya.
Menurut beliau, keadaan tersebut turut memberi kesan terhadap usaha kempen dan sokongan yang diterimanya pada pilihan raya berkenaan.
Sehubungan itu, Mohd Lin menyeru masyarakat agar menilai dirinya berdasarkan rekod perjuangan, khidmat dan sumbangan yang telah diberikan kepada rakyat selama ini, bukannya berdasarkan tuduhan atau fitnah yang tidak berasas.
“Saya berharap masyarakat dapat menilai saya melalui apa yang telah saya lakukan, bukan melalui persepsi atau tuduhan yang tidak benar,” katanya.

MOHD LIN