Syarikat Sabah terus ditempa ke pasaran global

SEOUL, Korea Selatan: Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MINDET) akan terus menyokong pembangunan syarikat tempatan Sabah menerusi pelbagai inisiatif sedia ada serta program baharu yang dirangka bagi meningkatkan daya saing perusahaan negeri ini di peringkat antarabangsa.
Menterinya yang juga Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan lebih banyak syarikat tempatan berjaya menembusi pasaran global dan mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.
“Saya berbangga kerana semakin banyak syarikat berpangkalan di Sabah kini berjaya memasuki pasaran antarabangsa dengan menjana pendapatan tahunan mencecah jutaan hingga puluhan juta ringgit.
“Kejayaan ini bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, malah membantu membina rantaian bekalan serta rangkaian perkhidmatan perusahaan yang lebih kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pembukaan ringkas Pavilion Sabah sempena Seoul Food & Hotel Expo 2026 di Pusat Pameran Antarabangsa Korea (KINTEX), di sini, pada Isnin.
Sebanyak lapan syarikat dari Sabah menyertai pameran berprestij itu iaitu Kerupuk Lelek Enterprise Sdn Bhd, Yuly Global International Sdn Bhd, Aryana Food Sdn Bhd, Hong Xin Food Sdn Bhd, RDS Juta Food Industries Sdn Bhd, Norcy Beautylab Sdn Bhd, BTC Corporation Sdn Bhd dan Takahari Marketing Sdn Bhd.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus membantu memperluaskan capaian pasaran produk dan perkhidmatan Sabah di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memainkan peranan penting dalam memudah cara penyertaan syarikat tempatan ke pasaran global melalui pelbagai program promosi perdagangan dan pembangunan eksport.
Katanya, penyertaan syarikat-syarikat Sabah dalam Seoul Food & Hotel Expo 2026 dijangka membuka lebih banyak peluang perdagangan, pelaburan serta jaringan perniagaan antarabangsa, di samping mengukuhkan kehadiran produk dan jenama Sabah di pasaran dunia.
Terdahulu, Ewon menghadiri majlis perasmian rasmi Seoul Food & Hotel Expo 2026 bersama anggota delegasi Sabah yang lain.
Pameran itu menghimpunkan lebih 3,400 gerai melibatkan 1,800 syarikat dari 49 negara, termasuk Malaysia yang turut menampilkan Pavilion Sabah. Tahun ini merupakan penganjuran edisi ke-44 acara berkenaan.
Ewon juga menyertai tetamu jemputan yang mewakili pelbagai negara serta kedutaan asing dalam menyempurnakan upacara perasmian pameran tersebut.-Wu Vuide

Datuk Ewon Benedick merasmikan pembukaan Pavilion Sabah sempena Seoul Food & Hotel Expo 2026 di Seoul, Korea Selatan.