Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Tiga individu termasuk seorang wanita berjaya ditahan bersama dadah bernilai keseluruhan hampir RM8 juta dalam beberapa siri operasi serbuan di daerah ini, 22 Mei lalu.
Operasi yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah itu berjaya merampas dadah jenis syabu sebanyak 159.8 kilogram daripada rangkaian pengedaran berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pasukan operasi berjaya mengesan seorang lelaki yang dilihat sedang mengangkat kotak sebelum melarikan diri ke arah pusat beli-belah City Mall.
Katanya, suspek bagaimanapun berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan terhadap kotak berkenaan menemukan sembilan bungkusan dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 9.1 kilogram.
“Susulan penahanan itu, polis melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di Luyang dan sekali lagi berjaya menemukan 64 paket plastik lutsinar yang telah dikoyakkan dan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.
“Operasi diteruskan di sebuah hotel di pusat bandaraya dan menahan seorang lelaki serta wanita yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah berkenaan,” katanya pada sidang media di IPK Sabah, di sini.
Menurutnya, serbuan diteruskan dengan dipandu arah oleh suspek pertama dan berjaya merampas tambahan 68 bungkusan dadah disyaki syabu seberat 69.8 kilogram di sebuah unit kediaman pangsapuri di Inanam.
“Pada kira-kira jam 11.10 malam hari sama, hasil soal siasat lanjut membawa kepada pemeriksaan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza berwarna putih di kawasan parkir apartment berkenaan.
“Pemeriksaan berjaya menemukan 79 bungkusan dadah disyaki syabu seberat 80.9 kilogram yang disembunyikan di bahagian pintu penumpang, tempat duduk belakang serta ruangan belakang kenderaan berkenaan.
“Secara keseluruhan, polis merampas 156 bungkusan syabu dengan berat keseluruhan 159.8 kilogram yang dianggarkan bernilai RM7.99 juta,” katanya.
Jauteh berkenaan, tangkapan melibatkan tiga warga tempatan berusia lingkungan 18 hingga 49 tahun dan hasil ujian saringan air kencing mendapati hanya suspek wanita positif dadah.
Katanya, semakan rekod lampau turut mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau kesalahan dadah sebelum ini.
Sementara itu, Jauteh menegaskan, pihaknya berjaya menyita dua kenderaan Proton X50 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan,” katanya.
Sehubungan itu, Jauteh menegaskan, jumlah dadah yang dirampas kali ini dianggarkan mampu menampung kegunaan lebih 454,000 penagih dadah.
“JSJN Sabah komited untuk terus membanteras kegiatan pengedaran dadah di negeri ini dan menyeru orang ramai membantu menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222.
“Dadah adalah musuh nombor satu negara dan usaha memeranginya memerlukan kerjasama semua pihak bagi melindungi generasi masa kini dan akan datang,” tegasnya.


SIDANG MEDIA …. Jauteh menunjukkan sebahagian dadah yang berjaya dirampas hasil operasi berkenaan.






