KOTA KINABALU: Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) perlu dijadikan persatuan peneraju perpaduan kaum di Sabah.
Presidennya, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif berkata PMBS bukan saja dijadikan wadah untuk menyatukan masyarakat Brunei di Sabah juga menjadi peneraju utama penyatuan kepada kaum-kaum di wilayah ini.
” Apabila kita bersatu padu dan menjadikan persatuan kita ini kuat dan perkasa sudah tentu kita akan dapat menjalin perpaduan dengan kaum lain dan kalau boleh menjadi peneraju utama terhadap perpaduan dan keharmonian semua kaum,” katanya.
Berucap Pada Mesyuarat Perwakilan Tiga Tahun Sekali PMBS Sesi 2026-2028 di Dewan Saadah Wisma Muis di sini pada Sabtu,Mohd Arifin yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata beliau dan juga AJP yang baharu akan terus memperkasakan PMBS dalam semua segi dalam tempoh akan datang.
Beliau berkata sepanjang Sesi 2023-2025 menerajuai persatuan itu bersama seluruh kepimpinan PMBS, persatuan telah berjaya mengadakan pelbagai aktiviti untuk mengangkat dan mengetengahkan budaya masyarakat Brunei termasuk juga dalam bidang ekonomi dan pendidikan.
” Dalam tempoh tiga tahun akan datang kita akan realasasikan hasrat semua ketua cawangan dan masyarakat Brunei untuk membina Pusat Warisan Kebudayaan PMBS,” tambah Presiden PMBS yang menang tanpa bertanding bagi Sesi 2026-2028 itu.
“Kita akan angkat dan fokus agenda ini dalam mesyuarat pertama nanti dan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mencapai impian ini,” tegasnya.
Mohd Arifin juga merakamkan jutaan terima kasih kepada Timbalan Presiden, Datuk Haji Pengiran Saifuddin selaku Pengerusi Pelaksana Mesyuarat Perwakilan Tiga Tahun Sekali ini bersama AJKnya yang bertungkus lumus menyediakan persiapan untuk mesyuarat agung itu.
Beliau juga turut merakamkan jutaan terima kasih atas kerjasama kepada seluruh AJP Sesi 2023-2025 yang bekerja sebagai satu pasukan sepanjang tempoh itu dalam menganjurkan pelbagai program.
Katanya beliau dan AJP Sesi 2026-2028 yang baharu nanti akan turus turun padang melawat 32 cawangan PMBS di seluruh Sabah.
Mohd Arifin berkata PMBS yang sudah mempunyai cawangan dari Tawau, Sandakan, Kudat, Kota Marudu, Kota Kinabalu, Putatan, Papar, Membakut, Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang akan mengembangkan sayapnya ke daerah-daerah lain.
” Kita sememangnya menerima banyak permintaan untuk mewujudkan cawangan daerah-daerah lain termasuk Wilayah Persekutuan Labuan dan perkara ini akan kita bincangkan dalam mesyuarat AJP pertama Sesi baharu ini nanti,” tambahnya.
Presiden PMBS itu juga mahukan penglibatan aktif golongan muda agar mereka akan menjadi pelapis kepimpinan persatuan yang sudah berusia lebih 40 tahun ini.
Mohd Arifin juga turut mengucapkan selamat bertanding kepada 20 calon untuk merebut 9 AJP dan berharap mereka yang menang terus menyumbang idea dan khidmat untuk memajukan lagi PMBS.
Sebelum mesyuarat agung itu Forum bertajuk ” Bahasa Lambang Identiti dan Pemersatu Bangsa” diadakan dengan menampilkan tiga panel, dua professor didatangkan dari Universiti Brunei Darussalam dan seorang lagi profesor dari Universiti Malaysia Sabah. (Berita lanjut menyusul).
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Presiden PMBS yang juga ADUN Pantai Manis, Datuk Hj Pengiran Saifuddin Hj Pg Tahir, Konsul Agung Negara Brunei Darussalam, Dayang Fauzana Octavia Alli, Konsul Muda, Haji Hasrul, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Halijah Haji Edinin, Penasihat PMBS, Datuk Haji Mohd Yussof Datuk Seri Panglima Mohd Kassim, seluruh AJP dan semua ketua cawangan, perwakilan dan pemerhati PMBS dari seluruh Sabah yang dianggarkan 300 orang.- Hj. Mohd Amin Hj Muin.

TIBA …Mohd Arifin bersalaman dengan perwakilan sebaik tiba untuk bemerasmikan Mesyuarat Perwakilan 3 Tahun Sekali PMBS.

ALBUM …. Mohd Arifin dan Pengiran Saifuddin bergambar kenangan semasa mesyuarat agung itu.








