Oleh FARDY BUNGGA
PENAMPANG: Seorang pemandu ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi Op Mabuk yang dijalankan di Jalan Pintas Penampang, di sini, awal pagi Ahad.
Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu turut mengeluarkan sebanyak 24 saman.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, dua pemandu ditahan mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu atas kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.
“Sepanjang operasi berkenaan, seramai 63 pengguna jalan dan 53 pelbagai jenis kenderaan telah ditahan untuk diperiksa.
“Hasil pemeriksaan, pihak polis mengeluarkan 24 keping saman atas pelbagai kesalahan termasuk 16 daripadanya adalah tidak memiliki lesen memandu,” katanya dalam kenyataan media.
Sammy berkata, operasi berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengesan pengguna jalan raya yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Operasi itu antara lain turut bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya agar sentiasa patuh kepada undang-undang dan peraturan lalulintas yang telah ditetapkan,” katanya.

Operasi dijalankan bagi mengesan pemandu mabuk selain kesalahan lalu lintas lain.

Seorang pemandu ditahan sebelum diarahkan menjalani ujian pernafasan bagi mengesan tahap alkohol dalam badan.









