PENAMPANG: Pergerakan Pemuda Upko Penampang mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang menyaksikan pembentukan barisan kepimpinan baharu serta kelulusan empat usul utama melibatkan isu-isu penting rakyat Sabah.
Dalam mesyuarat yang berlangsung di Dewan Kampung Ramayah pada malam Jumaat, Billy Joe Dominic kekal menerajui Pergerakan Pemuda Upko Penampang sebagai Ketua Pemuda bagi sesi baharu.
Turut dipilih dalam barisan kepimpinan baharu ialah Herman Amat sebagai Timbalan Ketua Pemuda Upko Penampang, manakala Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Moyog, Micheal Fadillah, dilantik sebagai Setiausaha dan Chalton Anam yang juga Pemaju Mukim Moyog pula dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda.
Menariknya, barisan kepimpinan yang dibentuk kali ini menampilkan kira-kira 50 peratus muka baharu, mencerminkan komitmen Pemuda Upko Penampang dalam memberi peluang kepada generasi pelapis untuk tampil memimpin.
Mesyuarat tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 103 perwakilan daripada 26 cawangan Pemuda hadir bersama 91 orang pemerhati, sekali gus memenuhi kapasiti dewan.
Selain pemilihan kepimpinan, mesyuarat turut meluluskan empat usul penting yang akan menjadi fokus perjuangan Pemuda Upko Penampang.
Usul pertama menyentuh isu Pendatang Tanpa Izin (PTI), termasuk status pemegang dokumen IMM13, Sijil Banci dan dokumen berkaitan yang dianggap perlu ditangani secara tegas dan menyeluruh demi menjaga keselamatan serta hak rakyat Sabah.
Usul kedua menegaskan tuntutan hak Sabah berhubung pemberian khas 40 peratus seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan semangat Malaysia Agreement 1963.
Usul ketiga membincangkan hala tuju Upko selepas menyertai gabungan Gabungan Rakyat Sabah, dengan perwakilan menyatakan sokongan agar parti terus memainkan peranan konstruktif dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah.
Sementara itu, usul keempat menyaksikan Pemuda Upko Penampang sebulat suara mengusulkan agar Ewon Benedick terus dicalonkan sebagai calon Parlimen P.174 Penampang pada pilihan raya akan datang.
Billy Joe, berkata keputusan mesyuarat itu menunjukkan kesatuan dan kesediaan generasi muda parti untuk terus memperjuangkan agenda rakyat serta memastikan suara anak muda Sabah terus diberi perhatian dalam arus pembangunan negeri.
“Pemuda UPKO Penampang komited untuk menjadi suara anak muda, mempertahankan hak Sabah serta memastikan kepimpinan yang berintegriti terus mendapat mandat rakyat,” katanya.-John Tambanan.

Pemuda UPKO Penampang komited jadi suara anak muda





